HARI ini kita menyambut ulang tahun ke-47 penjalinan hubungan diplomatik China-Malaysia. Ini kali pertama saya meraikan ulang tahun hubungan diplomatik sejak menyandang jawatan Duta Besar China ke Malaysia. Hati saya penuh dengan pelbagai perasaan berhubung misi, tanggungjawab dan harapan.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini selepas saya menyandang jawatan duta besar, saya telah menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak Malaysia, termasuk kerajaan, Parlimen, parti politik, media, kumpulan pemikir, persatuan dan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat. Saya telah merasai keghairahan dan keikhlasan orang ramai terhadap perkembangan hubungan China-Malaysia. Peribahasa Melayu "air dicincang tidak akan putus” tepat menggambarkan persahabatan selama beribu-ribu tahun antara China dan Malaysia.
Seperti yang kita tahu, dunia kini tidak begitu aman damai. Dengan munculnya unsur-unsur ketidakstabilan dan ketidaktentuan akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia, ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional semakin saling berkaitan. Kebangkitan hegemoni, mentaliti Perang Dingin, unilateralisme serta fahaman perlindungan semakin berleluasa dan mendatangkan risiko dan cabaran kepada umat manusia. Mujurnya, China dan Malaysia kekal saling membantu demi manfaat bersama, mencapai kerjasama yang lebih mendalam dan hasil yang diingini.
Presiden China, Xi Jinping amat mementingkan perkembangan hubungan China-Malaysia dan kerap mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Malaysia pada tahun-tahun lepas. Semasa lawatan beliau ke Malaysia pada tahun 2013, hubungan China-Malaysia telah ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. Baru-baru ini, Perdana Menteri China, Li Keqiang mengadakan mesyuarat secara maya dengan rakan sejawatnya di Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kedua-dua pemimpin telah mencapai konsensus untuk bekerjasama dalam bidang seperti pembelian, penyelidikan dan pembangunan vaksin, e-dagang, ekonomi digital, teknologi tinggi, pertanian dan keselamatan makanan. Mereka juga menukar pandangan secara mendalam berhubung isu-isu antarabangsa dan serantau. Pada bulan lepas, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkunjung ke China dan mengadakan mesyuarat yang berhasil dengan Ahli Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi.
Mereka telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua kerajaan untuk mempromosi kerjasama pada era pasca Covid-19. Pertukaran peringkat tinggi memainkan peranan yang penting untuk menunjukkan hala tuju pembangunan hubungan China-Malaysia.
Perangi wabak
Dalam usaha memerangi wabak Covid-19, China dan Malaysia saling menyumbang bekalan perubatan dan berkongsi pengalaman masing-masing dalam menangani pandemik. China memberikan keutamaan kepada Malaysia dalam kerjasama vaksin. Proses pembelian, pembangunan dan pengeluaran vaksin dijalankan secara menyeluruh. Pada tahun 2020, jumlah perdagangan dua hala dan pelaburan China di sektor pembuatan Malaysia masing-masing meningkat 4.2 peratus dan 10.3 peratus, manakala jumlah eksport Malaysia ke China mencapai rekod tinggi yang baharu.
China kekal menjadi rakan dagang Malaysia terbesar untuk 12 tahun berturut-turut dan pelabur asing terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia untuk 5 tahun berturut-turut. Projek-projek mega seperti "Taman Berkembar Dua Negara” dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga mencatat kemajuan dengan lancar.
Kepentingan bersama kedua-dua pihak dipenuhi, hal ini mengukuhkan daya tahan hubungan dua hala dan mempromosikan kerjasama bagi mencapai pertumbuhan tanpa dipengaruhi pandemik.
Walaupun kita jauh di mata akibat pandemik ini, namun kita masih dekat di hati. Kami mengatasi kesan pandemik terhadap interaksi bersemuka dengan mengamalkan norma baharu. Misalnya, kami telah menganjurkan "2020 Tahun Kebudayaan dan Pelancongan China-Malaysia – Jalan Sutera Digital” dan pelbagai acara secara maya bagi meneruskan interaksi antara kedua-dua negara yang merentasi pelbagai bidang dan pelbagai peringkat dalam "awan”. Usaha ini memastikan semangat pertukaran antara rakyat kedua-dua negara tidak lenyap dan telah mendapat sambutan yang baik.
Ketabahan hanya dapat dilihat dalam saat getir. Hubungan China-Malaysia telah menunjukkan daya ketahanan dan keutuhan meskipun berdepan dengan rintangan.
SokonganRakan-rakan daripada pelbagai lapisan masyarakat begitu bersemangat memberi sokongan terhadap persahabatan China-Malaysia dan ini memberikan kekuatan dan keyakinan penuh kepada kami untuk menggerakkan persahabatan China-Malaysia ke hadapan. Saya berharap peningkatan kerjasama antara kedua-dua negara bertumpukan kepada tiga aspek pada era pasca pandemik:
Pertama, mendalami kerjasama mencegah pandemik dengan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang perubatan, penyelidikan dan pembangunan vaksin serta bidang-bidang lain. Dengan penularan pandemik dikekang, interaksi bersemuka pelbagai bidang dan peringkat dapat disambung secepat mungkin bagi meningkatkan pertukaran antara rakyat dan mengukuhkan persahabatan rakyat kedua-dua negara.
Kedua, meningkatkan sinergi strategi pembangunan antara kedua-dua negara, mempromosi kerjasama berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan memastikan kemajuan lancar kerjasama projek-projek mega. Di samping itu, memacu bidang pertumbuhan baharu melalui kerjasama ekonomi digital dan meneroka potensi kerjasama dalam bidang-bidang seperti 5G, data raya, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), bandar pintar dan e-dagang rentas sempadan bagi membentuk dinamik pertumbuhan yang baharu.
Ketiga, meningkatkan komunikasi dan penyelarasan dalam isu-isu antarabangsa dan serantau, bersama-sama mendukung multilateralisme dan perdagangan bebas, mempertahankan perdamaian dan kestabilan dunia serta memainkan peranan positif untuk membina sebuah komuniti dengan masa depan dikongsi bagi umat manusia.
Kita mungkin menghadapi laut bergelora dan angin kencang di depan. Marilah kita berpegang tangan dan bersama-sama mengharungi ribut dan ombak, menyambut hari esok yang lebih indah demi persahabatan China-Malaysia.
* Ouyang Yujing ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca