SHAH ALAM - Amalan melantik pemimpin politik bagi jawatan bukan eksekutif di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa ini didakwa sebagai satu bentuk rasuah kerana diserahkan kepada mereka yang tidak sepatutnya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana GLC berkaitan boleh beroperasi secara profesional dengan kakitangan berkelayakan tanpa perlu campur tangan orang politik.
Menurutnya, tugas dan tanggungjawab ahli Parlimen yang tidak menganggotai kabinet ialah menjadi penggubal undang-undang sepenuh masa.
"Dalam setiap GLC sudah ada ketua pegawai eksekutif yang dibayar gaji tinggi untuk menjalankan operasi syarikat dan tidak ada keperluan menambah beban kewangan entiti itu dengan melantik orang politik.
"Sebenarnya banyak perbelanjaan dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya jawatan-jawatan bukan eksekutif ini dilupuskan. Biarkan profesional layak dan berintegriti menjalankan operasi syarikat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, kerajaan wajar mengikut contoh syarikat senaraian awam yang tidak melantik individu atau mereka yang daripada kalangan ahli politik sebagai pengerusi bukan eksekutif atau anggota lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan.
"Umpamanya kita lihat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) satu contoh. Dia ada orang profesionalnya. Kita ketengahkan ketua pegawai eksekutifnya yang ada merit dan integriti.
"Orang politik ini menyibuk buat apa? Menyusahkan orang-orang GLC ini termasuk memberi taklimat kepada orang politik. Dia tidak tahu apa pun tentang pengurusan,” katanya.
Hassan berkata, sekiranya ahli politik mahu menjadi profesional atau berniaga, mereka tidak perlu menjadi ahli politik atau bertanding pada pilihan raya.
"GLC kerajaan ini banyak, biarlah ahli profesional menguruskannya. Kalau dia menyeleweng kita tangkap dia, senang sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan individu yang sudah memegang jawatan dalam Majlis Amanah Rakyat atau Mara itu seakan-akan seperti memonopoli jawatan berkenaan.
"Mereka telah menjadikan GLC seperti Mara sebagai tempat untuk mencari makan, bukan tempat bagi membina institusi tersebut mendapat kebaikan dan keuntungan bagi manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata, dalam suasana pandemik Covid-19 sekarang ini di mana kerajaan memerlukan wang, jawatan yang ada itu perlu dikurangkan.
"Pengerusi dan ahli lembaga (lantikan politik) itu perlu dikurangkan. Contohnya, katalah GLC seperti Mara sekarang ini ada 15 orang, sepatutnya dikurangkan tinggal tujuh orang daripada kalangan mereka yang betul-betul layak.
"Kita sudah menjimatkan wang perbelanjaan, paling tidak elaun. Elaun bulanan dan elaun mesyuarat mereka tidak perlu dibayar lagi,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: GLC bukan habuan orang politik
Orang politik didakwa kuasai Mara
Klik di sini untuk terus membaca