SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak agar dapat bertahan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan untuk pada masa akan datang.
Pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, dalam tempoh menghadapi krisis ekonomi, kewangan dan peningkatan inflasi kos sara hidup, segala perbelanjaan bersifat kemahuan atau kehendak perlu diketepikan buat sementara waktu.
Menurutnya, jika boleh tangguhkan terlebih dahulu keinginan kerana keadaan semasa pada hari ini begitu berbeza berbanding empat atau lima tahun lalu.
"Semua lapisan masyarakat, baik T20, M40 atau B40 semuanya terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Sehubungan itu, kita semua perlu ubah cara pengurusan kewangan terutamanya perbelanjaan dan simpanan kerana kita tidak tahu apa yang akan jadi pada masa akan datang. Ada kemungkinan, PKP kali ini juga akan berlanjutan. Siapa tahu,’’ katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohamad Fazli mengakui berbelanja sememangnya membantu merangsang pertumbuhan ekonomi, namun beliau agak bimbang dengan trend pembelian rakyat Malaysia dalam talian seperti data yang direkodkan oleh iPrice Group.
iPrice Group adalah sebuah laman perbandingan harga yang beroperasi di Malaysia. Ia menyenaraikan syarikat e-dagang terbesar berdasarkan purata pengunjung laman web setiap kuarter, kedudukan aplikasi, pengikut media sosial dan bilangan pekerja di negara ini dan enam negara lain di Asia Tenggara masuklah Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, dan Hong Kong.
Beliau berkata, statistik itu menunjukkan bahawa jumlah pelawat ke syarikat e-dagang iaitu Shopee bagi sukuan pertama (Q1) pada tahun 2021 adalah seramai 46.9 juta orang.
"Angka tersebut telah melebihi jumlah penduduk di Malaysia. Situasi itu menunjukkan walaupun PKP, rakyat tetap berbelanja dalam talian,” ujarnya.
Justeru, Mohamad Fazli yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, setiap isi rumah perlu menggunakan konsep P (Postpone), E (Eliminate), R (Reduce) dan K (Keep) semasa menguruskan perbelanjaan.
Namun katanya, keutamaan yang perlu dititik beratkan sepanjang menguruskan perbelanjaan adalah simpanan pada masa hadapan dan kegunaan semasa kecemasan.
"Pendidikan anak-anak dan kesihatan antara perkara yang perlu diberi keutamaan.
"Kita sepatutnya belajar daripada apa yang berlaku semasa PKP 1.0 dan PKP 2.0 supaya kita boleh mendepani PKP 3.0 dengan tenang lebih-lebih lagi dalam menguruskan kewangan tanpa sebarang tekanan,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca