SHAH ALAM - Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dicabar mengikut langkah menteri dan timbalan menteri untuk tidak menerima gaji selama tiga bulan bermula Jun ini.
Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, kerana kebanyakan mereka yang menjadi Pengerusi GLC itu ialah ahli politik.
"Ada juga Pengerusi (GLC) mempunyai pendapatan lain.
"Tiga bulan tidak ambil gaji. Berani atau tidak sahaja nak buat. Kalau benar-benar ikhlas dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat maka buatlah,” katanya pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan bermula Jun untuk disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.
Mujibu berkata, dalam keadaan sekarang merupakan cara terbaik bagi pengerusi GLC ini menunjukkan tauladan kepada orang ramai dengan berkorban dan menyumbang kepada negara.
Mengulas isu sama, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri pula mencadangkan potongan gaji antara 10 hingga 50 peratus untuk tempoh tiga bulan kepada Pengerusi GLC.
"Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan dengan kerajaan serta rakyat dalam menghadapi situasi semasa,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca