RAKYAT Malaysia pada Selasa mula menjalani Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown fasa pertama selama 14 hari sehingga 14 Jun ini bagi melandaikan keluk jangkitan Covid-19. Sekiranya mahu keluar rumah untuk membeli barangan keperluan,... Klik di sini untuk terus membaca

RAKYAT Malaysia pada Selasa mula menjalani Sekatan Pergerakan Penuh atau total lockdown fasa pertama selama 14 hari sehingga 14 Jun ini bagi melandaikan keluk jangkitan Covid-19.

Sekiranya mahu keluar rumah untuk membeli barangan keperluan, pergerakan mereka wajib tidak melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

Itu sebahagian perintah yang dikeluarkan kerajaan dalam memerangi penularan pandemik yang meragut hampir 3,000 nyawa dan menjangkiti lebih 500,000 rakyat Malaysia.

Tinjauan Sinar Harian pada hari pertama pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia menunjukkan berlaku perubahan total di mana jalan raya, pasar raya dan kawasan tumpuan awam mulai lengang.

Kehadiran pengunjung pasar raya sekitar Kota Kemuning di Shah Alam berkurangan sekitar 60 peratus berbanding hari biasa.

Premis kecantikan diri dan spa di Shah Alam antara perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang total lockdown.

Selain itu, penutupan gerai pakaian, butik kecantikan, kedai elektronik dan kedai kasut menambahkan suasana sepi dalam pasar raya tersebut.

Seorang pekerja di kaunter khidmat pelanggan di pasar raya yang ingin dikenali sebagai Syura berkata, jumlah pengunjung dilihat tidak sepadat pada hari sebelumnya walaupun pasar raya tersebut dibuka pada jam 9 pagi.

Dakwanya, ia mungkin disebabkan pengguna sudah mendapatkan barangan keperluan pada hujung minggu lalu.

"Biasanya pasar raya di sini dipenuhi pengunjung di waktu pagi sebab mereka nak dapatkan barangan mentah segar,” katanya kepada pemberita.

Lain pula reaksi seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Halim, apabila dia berasa lega dan tenang untuk membeli barangan di pasar raya tersebut.

Dia yang kini bekerja dari rumah (BDR) mengambil peluang berkunjung ke pasar raya kerana tidak mahu bersesak dan beratur panjang.

"Bagus juga pasar raya tak sesak macam hujung minggu hari itu, saya nak datang sini pun takut sebab terpaksa bersesak dengan orang lain,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mengetatkan prosedur operasi standard (SOP).

Jika sebelum ini, orang ramai dibenarkan berada di lobi mahkamah, namun ketika ini mereka perlu berurusan di pintu utama mahkamah terlebih dahulu.

Kanopi diletakkan di kawasan tersebut dengan dikawal oleh pihak keselamatan.

Seorang pemandu teksi menunggu pelanggannya di Putrajaya Sentral pada Selasa.

Sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, mahkamah mengekalkan arahan agar orang awam tidak dibenarkan masuk untuk mengikuti prosiding kes.

Ia termasuk pihak media, apabila buat masa ini hanya dua wartawan dibenar masuk untuk laporan kes-kes mahkamah.

Orang awam yang mempunyai urusan seperti menghadapi pertuduhan kes akan merujuk dengan kakitangan sebelum dibenarkan masuk.

Di JOHOR, suasana bandar raya Johor Bahru menjadi sepi dengan bilangan kenderaan di jalan turut berkurangan.

Aktiviti perniagaan terutama di pusat beli-belah seperti di Jalan Wong Ah Fook dan Taman Abad masih dibuka, namun hanya pasar raya serta kedai menjual makanan yang beroperasi.

Pemandu teksi, Md Talib Amin, 78, berkata, lokasi yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai di hadapan Pejabat Pos Besar dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kini sepi.

"Tidak pernah lengang macam ini, tiada kenderaan yang melaluinya kecuali bas awam dan beberapa lori,” katanya.

Keadaan laluan di hadapan Pejabat Pos Besar menuju ke pusat bandar raya Johor Bahru sunyi berbanding hari biasa pada Selasa.

Di PAHANG, suasana hari pertama Sekatan Pergerakan Penuh di Mentakab dilihat tenang dan tidak ramai yang berada di jalan raya.

Tinjauan di beberapa lokasi mendapati, tiada aktiviti individu berkumpulan, malah tidak ramai yang mengunjungi pasar raya.

Bengkel kenderaan pula menjadi tumpuan pengguna yang mahu mendapatkan khidmat pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan, selain stesen minyak dan kedai makan.

Di KELANTAN, seawal jam 7 pagi, kenderaan yang berada di atas jalan raya dilihat dinaiki seorang sahaja sebagaimana yang disarankan pihak kerajaan.

Peniaga ikan di Pasar Berek 12, Mohd Yusman Kamaruddin, 42, berkata, perniagaannya tetap diteruskan seperti biasa dan bekalan mencukupi walaupun wujud dakwaan bekalan tidak boleh sampai.

"Sebelum ini, kedai makan semua tutup, jadi mereka akan beli lauk basah setiap hari untuk masak di rumah. Tapi kali ini kedai buka, maka mereka beli apa yang wajib sahaja,” katanya.

Sementara itu, peniaga sayur di Pasar Siti Khadijah, Roslina Ismail, 43, berkata, dia membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah jualannya.

"Ia untuk mengelakkan saya berdepan risiko kerugian kerana kebanyakan sayur yang dijual tidak tahan lama,” katanya.

Laluan utama di depan Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan lengang.

Di PULAU PINANG, jumlah kenderaan di Georgetown berkurangan sebanyak 40 peratus berbanding sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, peratusan itu dilihat agak tinggi kerana kebanyakan orang ramai keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan ke pasar.

Bagaimanapun katanya, kenderaan pada sebelah tengah hari semakin berkurangan dan pihaknya mendapati orang ramai mematuhi arahan, selain tidak berada di luar rumah tanpa sebarang urusan yang memerlukan.

"Polis akan meningkatkan pemeriksaan dalam kalangan orang ramai di lokasi awam bagi memastikan arahan pergerakan dalam jarak tidak lebih 10km dipatuhi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca