MALAYSIA sedang berada di tahap amat getir dalam usaha kita untuk membendung wabak Covid-19. Sejak lima hari lalu, purata jumlah kematian harian berada pada jumlah 75 orang setiap hari. 29 Mei lalu mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 98 kematian.
Kalau dahulu apabila kita mendapat perkhabaran mengenai kematian akibat Covid-19, nama-nama yang disebut adalah orang yang tidak kita kenali tetapi sekarang, hampir setiap 10 nama yang dilaporkan, seorang daripadanya adalah kenalan rapat kita atau orang kita kenali.
Purata 75 kematian setiap hari bukan satu perkara jenaka. Saya tidak pasti bila kali terakhir dalam negara Malaysia yang makmur dan sejahtera ini, ada berlaku kematian seramai itu setiap hari.
Kita sedar Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar kematian nahas jalan raya yang tinggi di rantau ini. Berdasarkan statistik tahun 2019, jumlah kematian nahas jalan raya pada tahun tersebut adalah 6,167 kes. Kalau dipuratakan, jumlah kes kematian akibat nahas jalan raya setiap hari pun, jumlahnya masih tidak setinggi kes kematian akibat Covid-19 sekarang.Kita sedar ramai orang yang mati di Malaysia setiap hari akibat sakit tua, uzur dan pelbagai lagi sebab biasa yang mengakibatkan kematian tetapi purata 75 kematian setiap hari daripada lima hari kebelakangan ini yang berpunca daripada Covid-19 sepatutnya menakutkan kita.
Penulis tidak pasti berapa purata jumlah anggota tentera terkorban se-tiap hari semasa bertempur dengan komunis dahulu. Tetapi penulis yakin jumlahnya tidak setinggi yang sedang kita hadapi sekarang.
Jika statistik ini tidak mencemaskan pemimpin negara, merisaukan rakyat dan menyedarkan ramai yang masih mengambil perkara ini secara acuh tidak acuh, penulis tidak pasti maklumat apa lagi yang kita masih tunggu untuk menyedarkan kita betapa kritikalnya kita hari ini.
Semalam, penulis melihat satu video sekumpulan pemuda yang seperti berbangga menunjukkan kertas saman yang diterima daripada pihak penguat kuasa undang-undang kerana melanggar SOP di sebuah masjid. Mereka seolah-olah meraikan kejayaan untuk disaman dan dikenakan kompaun RM2,000. Apakah mereka tidak sedar bahaya Covid-19 yang boleh mengambil nyawa mereka?
Artikel ini bukan bertujuan menimbulkan ketakutan tidak bersebab. Ia lebih berhasrat untuk menimbulkan kesedaran agar semua pihak mengambil serius dan memainkan peranan masing-masing dengan berkesan untuk kita sama-sama membantu memerangi wabak ini.
Dalam satu grup WhatsApp yang penulis ikuti, hampir setiap hari ahli grup itu berdiskusi mengenai Covid-19 sambil mengeluh dan melahirkan rasa kerisauan dan kadang-kadang menyalahkan si polan itu dan si polan ini. Mendedahkan kegagalan itu dan ini seolah-olah mereka mempunyai penyelesaian terbaik kepada semua perkara yang berlaku dalam negara.
Ada juga cadangan yang baik daripada mereka tetapi siapa yang memantau dan mengambil kira pandangan orang ramai?
Tetapi itulah norma baharu hari ini. Covid-19 juga melahirkan ramai pakar segera yang ilmu mereka peroleh daripada membaca Wikipedia. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka sahaja. Kegusaran dan kerisauan itu bersebab.
Ia timbul kerana mereka tidak melihat isu tersebut ditangani dengan tuntas dan cermat. Tahap kepercayaan mereka kepada laporan-laporan rasmi dibaca dengan penuh sinikal.
Kita sedang berada dalam satu lagi bentuk peperangan. Perang yang ini lebih rumit kerana kita tidak nampak musuh kita. Dalam perang, anggota tentera diajar dengan disiplin tinggi. Dalam perang, kita tidak boleh buat silap. Kesilapan kita boleh mengakibatkan nyawa orang lain akan terkorban. Sebab itu, dalam konteks pandemik Covid-19 hari ini, kita harus menganggap bahawa kita sedang berada dalam mode perang.
Rakyat perlu dididik segera untuk mendisiplinkan diri dan pemimpin negara perlu belajar menjadi seorang panglima tentera yang berintegriti. Semoga Malaysia terus dipelihara Tuhan.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca