CHINA mahukan kaum ibu di negaranya mempunyai lebih ramai cahaya mata tetapi bagi golongan muda pula, kempen kerajaan untuk memberikan sokongan supaya dasar itu menjadi realiti tidak membawa pengertian besar buat mereka. Ini disebabkan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

CHINA mahukan kaum ibu di negaranya mempunyai lebih ramai cahaya mata tetapi bagi golongan muda pula, kempen kerajaan untuk memberikan sokongan supaya dasar itu menjadi realiti tidak membawa pengertian besar buat mereka.

Ini disebabkan oleh peningkatan kos hidup dan perubahan minda tentang erti hidup berkeluarga di negara komunis itu.

Pada Isnin lalu, China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia melonggarkan peraturan perancang keluarga apabila membenarkan setiap keluarga di negara itu mempunyai tiga orang anak.

Keputusan itu dibuat selepas Beijing merekodkan hanya 12 juta bayi dilahirkan pada tahun lalu yang merupakan rekod kelahiran terendah di negara berkenaan.

Namun, kos hidup yang tinggi, ruang rumah sempit dan normal sosial telah membentuk bilangan keluarga di China sekali gus menghalang usaha untuk meningkatkan jumlah penduduk yang kini berjumlah 1.41 bilion, kata pakar-pakar.

"Sejumlah wanita menolak idea untuk mempunyai anak. Jadi, tidak perlu sentuh tentang dasar mahukan tiga orang anak," kata seorang pelajar sarjana, Yan Jiaqi kepada AFP di Beijing.

Sebelum ini, China mempunyai peraturan keluarga yang paling ketat di dunia apabila setiap pasangan suami isteri hanya boleh memiliki seorang anak sebelum ia dilonggar kepada dua orang pada tahun 2016.

Peraturan memiliki seorang anak itu dilonggarkan ekoran kebimbangan bahawa ekonomi negara tersebut bakal menjadi lembap sedangkan bilangan tenaga kerja yang berusia pula semakin ramai.

Namun, peraturan terkini yang membenarkan memiliki tiga orang anak itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mendorong pertumbuhan kadar kelahiran China.

China melonggarkan dasarnya apabila membenarkan setiap keluarga memiliki tiga orang anak di negara itu. - Foto AFP

Demi menjadikan kempen pentadbiran komunis itu berjaya, ia perlu memujuk penduduk di negara itu antaranya seperti Yang Shengyi berusia 29 tahun yang juga bapa kepada dua orang anak untuk mempunyai anak yang ketiga.

Ketika Shengyi melawat sebuah kedai permainan di Beijing bersama keluarganya, dia berkata, dua anak lelakinya sudah mencukupi untuknya tinggal di ibu negara China itu.

"Kami tidak mempunyai banyak wang dan tidak ada ruang yang mencukupi di rumah. Jadi, saya tidak berfikir terdapat sebarang sebab untuk mempunyai anak yang ketiga," katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, gaya hidup di kebanyakan bandar raya China mengubah tanggapan tentang pentingnya mempunyai anak selepas mendirikan perkahwinan.

Ini adalah kerana gaya hidup di bandar-bandar besar menyebabkan harga rumah menjadi mahal, jumlah jam bekerja yang lebih lama dan komitmen bagi membiayai pendidikan untuk anak-anak.

Situasi dan sikap golongan muda itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan para pemimpin China menyebabkan dasar memiliki dua orang anak tersebut dilonggarkan.

Namun, dasar kerajaan yang berjanji mahu membantu setiap pasangan yang menambahkan bilangan anak terutamanya kaum ibu boleh bekerja secara lebih fleksibel, tidak dialu-alukan di media sosial.

Sebaliknya, golongan muda di negara tersebut seolah-olah mempersendakan dasar baharu pemilikan anak itu kerana mereka terpaksa bersaing di tempat kerja dan mengalami tekanan bagi membantu ibu bapa yang tua dan tidak mempunyai saudara untuk berkongsi kos penjagaan kesihatan mereka sebelum ini.

Seorang pakar demografi China di Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syraikat (AS), Yi Fuxian berkata kepada AFP bahawa China perlu mencontohi model Jepun jika mahu rakyatnya menambahkan bilangan anak.

Menurutnya, negara Matahari Terbit itu telah menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak secara percuma, pendidikan percuma dan subsidi perumahan untuk generasi muda. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca