BUKAN rahsia lagi, Laut China Selatan menjadi antara kawasan maritim paling kontroversi di dunia lantaran dituntut lebih enam buah negara.
Selain Malaysia, Brunei, Vietnam, Filipina dan Taiwan, negara China juga tidak ketinggalan membuat tuntutan ke atas Laut China Selatan.
Perebutan ke atas maritim yang dianggap lubuk emas itu berlaku lantaran ia menjadi laluan perkapalan utama global dan kaya dengan minyak serta gas asli.
Kebanyakan negara terlibat mematuhi ketetapan undang-undang antarabangsa bahawa kawasan lautan sejauh 200 batu nautika dari kawasan perairan setiap negara dianggap sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) masing-masing.
Bagaimanapun, China pula menggunakan tuntutan sejarah melalui apa yang dipanggil Garisan Putus Sembilan untuk mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya.
Tuntutan itu tidak diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat yang memang memantau rapat pergerakan China di perairan tersebut sehingga menggelar perbuatan republik itu sebagai penjajahan haram.
Namun, sebagai sebuah negara kuasa besar dunia, China sememangnya agresif dalam tuntutan mereka sehingga seringkali mencabar kedaulatan negara lain.
Sejak tahun 2014, China dilihat telah mula membina sekurang-kurangnya tujuh pulau buatan di sekitar Laut China Selatan termasuk berdekatan kepulauan Spratly yang dituntut Malaysia sebagai pangkalan tentera mereka.
Dalam satu mesej 'keras' China pada tahun 2018, republik itu menyiarkan foto mengenai kerja pembinaan pulau buatan tersebut yang sudah dilengkapi dengan bangunan dan lapangan terbang.
Pada tahun lalu pula ketika dunia dibadai Covid-19, kapal Armada Angkatan Laut China pernah berlegar-legar di Tebing Patinggi Ali di Laut China Selatan sebelum kekal di situ selama hampir dua bulan.
Terbaru pada Isnin lalu, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terpaksa melakukan pintasan amaran ke atas 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang dilaporkan berada di ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.
Profesional
Mengulas mengenai insiden tersebut, penganalisa pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor memuji tindakan TUDM yang dilihat sangat profesional dan mengelak sebarang provokasi apatah lagi pesawat milik PLAAF jenis Ilyushin II-76 dan Xian Y-20 adalah jenis pesawat pengangkut, selain terbang dalam sistem kelajuan navigasi.
Katanya, jet pejuang negara, Hawk 208 yang tidak mengaktifkan sistem radar dan senjata ketika melakukan pintasan jelas membuktikan kredibiliti TUDM yang berusaha untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama melibatkan kehilangan nyawa.
"Tindakan pesawat TUDM sekadar melakukan pintasan amaran laluan ke atas semua pesawat dari China itu bagi menyatakan amaran awal dilihat sangat tepat dan profesional, selain tidak memaksa pesawat China itu turun mendarat.
"Bagi pihak negara, kita tidak tahu apakah yang berada di dalam pesawat tersebut sama ada membawa minyak atau melakukan pengangkutan. Sekiranya membawa orang, tindakan agresif TUDM boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan akan menjadi lebih serius.
"Tindakan TUDM adalah selari dengan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) demi kepentingan nyawa dan mengutamakan keselamatan.
"Juruterbang pesawat Hawk negara juga sempat mengambil gambar semasa operasi tersebut dilaksanakan, sekali gus boleh dihantar sebagai bukti bantahan diplomatik,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Kedutaan China di Malaysia dalam respons segera pada Selasa mempertahankan tindakan 16 buah pesawat tersebut yang menghampiri Tebing Patinggi Ali dan menyatakan ia merupakan rutin latihan biasa untuk ketenteraan China, selain menegaskan mereka tidak memasuki ruang udara Malaysia.
Jelas Muhammad Fuad, maklum balas China itu tidak mengejutkan memandangkan China sememangnya tidak mengiktiraf Zon Maritim Malaysia yang berada 200 batu nautika dari perairan negara, malah mendakwa titik terakhir sempadan negara republik itu adalah sehingga di Tebing Patinggi Ali.
"China seumpama ingin memberitahu dunia tentang pengaruh mereka, selain menunjuk kemahuan negara republik itu bahawa Laut China Selatan adalah kepunyaan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Pengajian Keselamatan dari Universiti Naif Arab Saudi, Prof Madya Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Ketenteraan Laut China, Gao Xiucheng pula jelas menunjukkan China melihat Laut China Selatan sehingga ke EEZ Malaysia adalah sebahagian daripada kedaulatan mereka.
Katanya, tindakan 16 buah pesawat China itu jelas menunjukkan republik itu sengaja melakukan perbuatan tersebut, malah dengan niat untuk menunjukkan kononnya ia sebagai sebuah latihan ketenteraan sedangkan pada masa sama cuba meningkatkan kedaulatan wilayah China.
Tegas beliau, perbuatan China itu bertujuan menunjukkan brutality dan agresif negara republik itu ke atas usaha penguasaan mereka di wilayah bertindih untuk dua dekad terakhir ini, sekali gus menjadi kuasa besar dunia.
"China amat bersedia meluaskan kuasa mereka dan menunjukkan kekuatan ketenteraan mereka. Tindakan itu mencerminkan tindakan mereka menerusi gerakan Grey Zone Tactics yang melihat ruang udara dan zon maritim dimiliki oleh negara-negara Asia termasuk Malaysia dikira dalam Wilayah Kabur,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Mizan berkata, China akan memasuki kawasan-kawasan yang kabur tersebut dan membuat tuntutan bahawa ia sebahagian daripada wilayah mereka, selain republik itu melaksanakan Garisan Putus Sembilan yang dianggap sebagai wilayah China walaupun ia tidak diiktiraf oleh antarabangsa.
Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tindakan pantas pintasan yang dilakukan oleh TUDM terhadap pencerobohan ruang udara negara dan ketegasan Kementerian Luar Negeri menghantar nota bantahan diplomatik kepada kedutaan China memberikan kelegaan kepada rakyat negara yang jelas agak bimbang dengan keadaan pencerobohan ruang negara atau zon maritim negara itu.
Jelas beliau, kesiapsiagaan pertahanan negara selaras dengan perlaksanaan Strategi Pertahanan Udara Malaysia jelas membuktikan sistem pertahanan dan perisikan negara terutamanya Tentera Udara Malaysia berfungsi dengan baik.
Sehubungan itu beliau berkata, rakyat diminta bertenang dan yakin dengan kemampuan agensi pertahanan negara dalam menangani ancaman berkaitan keselamatan kedaulatan tanah air tercinta.
"Malaysia diperakui mempunyai keupayaan serantau dalam kaedah penyelesaian konflik melalui kaedah diplomatik dan kerjasama keselamatan serantau dan global yang berjaya menangani ancaman keselamatan terhadap negara," katanya kepada Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca