SENANG hati jika dalam bank ada wang simpanan yang cukup, dalam dompet tersusun berbaris wang ringgit, gaji bulanan yang tetap jalan ataupun pencen bulanan yang tidak terhenti. Bolehlah mereka memanjatkan tangan bersyukur.
Selesalah mereka duduk santai di kerusi empuk ditemani secangkir teh, mengetik handphone memuat naik di sosial media atau menulis kenyataan membicara tentang Covid-19 dan lockdown.
Sejujurnya, apakah mereka mendahulukan diri sendiri atau pedulikah mereka kepada yang tidak senasib.
Dari matahari terbit hingga terbenam, terdengarlah khutbah mereka tentang betapa perlunya pengorbanan, tentang pasrah dan tabah hati, meng-ingatkan berbanyak doa dan seribu dalil pentingnya lockdown untuk memutuskan rantaian virus covid yang mengganas.
Tatkala senja dan sebaik sahaja menerima maklumat kes harian Covid-19, menari pantas jari di telefon bimbit menghantar majukan maklumat kepada semua kenalan dalam grup WhatsApp. Agaknya, inilah rutin seharian bagi mereka yang bertuah.
Namun, apakah mereka ini memahami perit jerih mereka yang bertarung untuk kelangsungan hidup seharian ke hari yang seterusnya.
Adakah mereka mempunyai perasaan empati dengan suami yang hilang kerja, ibu tunggal yang buntu fikiran tiada makanan untuk anak atau mak cik yang menjaja di tepi jalan merenung tanpa pelanggan.
Bagi mereka, yang mengancam bukanlah Covid-19 tetapi tempias Covid-19. Lockdown lebih memudaratkan mereka.
Kalaulah mereka berjalan dalam kasut mereka yang tidak senasib, pasti mereka akan lebih memahami apa yang dihadapi mereka.
Sudah tentu akan timbul perasaan empati dengan mereka yang hidup seharian bergantung kepada pendapatan harian tanpa mengetahui apa yang menanti mereka pada hari esok.
Apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa menteri-menteri tidak akan mengambil gaji untuk tiga bulan, apakah begitu besar pengorbanan mereka?
Apakah mereka tidak bisa hidup untuk tiga bulan dengan wang gaji selama berbulan-bulan sebelum ini, dengan pelbagai wang elaun menteri atau dengan elaun sebagai wakil rakyat.
Apakah kerana mereka tidak mendapat gaji untuk tiga bulan, mereka juga akan beratur untuk mengeluarkan wang daripada akaun i-Sinar mereka atau daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau turut memohon bantuan Prihatin.
Lihat sekeliling dan lihatlah mereka yang sedang dalam keperitan.
Biarpun hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mereka mempunyai maruah mahu bekerja mencari pendapatan dan bukannya enak menadah tangan meminta bantuan.
Sedarlah, kita semua sedang terumbang-ambing di laut yang bergelora. Cuma kita semua sedang belayar dalam bahtera yang berbeza.
Ada yang berada di dalam kapal layar, ada yang berada di dalam bot dan ada sekadar berupaya berada di dalam perahu.
Setiap bahtera mengalami kesan yang berbeza. Ada yang santai belayar sekadar merasai riak dan ada yang sedang bertarung nyawa mengemudi bahtera mereka.
Ya, lockdown sememangnya wajar tetapi bukan semua mampu terkurung dalam lockdown.
*Norman Fernandez ialah seorang peguam yang menjalankan amalan guaman di Johor Bahru
Klik di sini untuk terus membaca