PEMANSUHAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin baru-baru ini memberi impak kepada pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di... Klik di sini untuk terus membaca

PEMANSUHAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin baru-baru ini memberi impak kepada pemerkasaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di sekolah seluruh negara. Kompetensi guru juga perlu dipertingkatkan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Murid memerlukan pelbagai pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menurut Akta Pendidikan 1996, Kesamarataan Pendidikan bagi murid tanpa mengira kaum perlu ditekankan supaya mereka mampu mengikuti kurikulum yang disediakan kerajaan pada masa depan.

Pemerkasaan PBD yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat perlu bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam menguasai kemahiran asas di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Pelaksanaan PBD oleh guru memerlukan sokongan bagi membantu mereka menterjemah hasrat pelaksanaan PBD supaya lebih berkesan dan mampu meningkatkan potensi murid. Pihak sekolah terutama guru perlu memainkan peranan penting bagi memandu murid dalam pembelajaran. Sokongan pelbagai pihak terutama daripada komuniti, ibu bapa dan pihak bukan kerajaan (NGO) amat ditagih supaya bersama-sama berganding bahu menjayakan usaha murni ini.

PBD perlu dilaksanakan dengan lebih inklusif kepada semua pihak. Guru perlu bijak mengatur aktiviti dalam subjek diajar bagi menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran yang dirancang supaya objektif pembelajaran tercapai.

PBD juga perlu dilaksanakan dengan merujuk kepada keperluan perancangan rapi bagi memenuhi keperluan individu murid. Malak pelaksanaan PBD perlu berlandaskan keperluan murid dan kebijaksanaan guru menyusun aktiviti pengajaran supaya murid dapat mengikuti pembelajaran dengan berkesan. Analisis tugasan secara individu kepada murid membantu mereka menguasai objektif pembelajaran.

Objektif PBD adalah bagi memastikan perkembangan dan kemajuan pembelajaran murid dapat dicapai, mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid serta memberi maklum balas keberkesanan pengajaran guru. Guru perlu bertindak secara inklusif supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan semaksimum mungkin. Pelbagai aktiviti seperti simulasi, belajar sambil bermain, kuiz, bercerita dan projek mudah boleh diterapkan kepada murid mengikut keperluan dan objektif yang dirancang.

Guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan menjiwai pengajaran dalam bilik darjah. Pendekatan multitasking perlu diaplikasi dalam bilik darjah demi memastikan proses PBD dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. Pendekatan ini merupakan satu elemen yang menggabungkan pelbagai kemahiran dalam satu proses pengajaran.

Guru perlu ada kemahiran pengajaran pelbagai aras dan tahap kemahiran supaya seiring dengan keupayaan murid dalam bilik darjah manakala, pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memerlukan pendekatan role model kepada guru agar dapat memberi kefahaman dalam pembelajaran murid atas talian. Guru bertindak sebagai model dalam proses pengajaran agar objektif pembelajaran mudah difahami oleh murid.

Sehubungan itu, guru perlu diberi pendedahan dan pengukuhan dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan pengaplikasian dalam memperkasa PBD di sekolah. Aktiviti pembelajaran yang moden perlu diwujudkan supaya arena pendidikan lebih mantap dan mampu membantu murid mengembangkan potensi diri mereka. Oleh itu, peranan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai universiti nombor satu pendidikan di Malaysia tidak terkecuali dalam usaha memperkasa dan memartabat sistem pendidikan di Malaysia ke peringkat global.

Hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) terutama dalam mencapai objektif Gelombang Ketiga (2021-2025) mampu dicapai dengan penggunaan pelbagai pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Adalah menjadi hasrat pihak kerajaan supaya semua individu terutamanya murid di sekolah rendah mampu menguasai kemahiran asas sebelum mula menjejak kaki ke sekolah menengah. Pembangunan modal insan perlu seiring dengan ketersediaan guru mendukung hasrat pendidikan negara selaras dengan Dasar Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

Pelbagai pendekatan dan strategi perlu diwujudkan bagi memastikan murid dapat menguasai kemahiran dalam pembelajaran.

* Dr Kama Shaffeei ialah Pensyarah di Jabatan Pengajian Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Klik di sini untuk terus membaca