SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menghentikan pandangan tidak matang dengan mengaitkan polemik hantaran Facebook Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu 'tutup pintu depan' dengan konteks 'kerajaan pintu belakang'.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, Dr Mahathir yang kini mengetuai Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) disifatkan beliau sebagai terpesong sewaktu mentafsir hantaran Facebook Ismail Sabri yang menjadi perhatian umum sejak Rabu lalu.
Jelas beliau, Dr Mahathir itu juga seolah-olah hanya memenuhi agenda sendiri dan tidak mahu menerima maksud sebenar disampaikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.
"Walaupun terdapat dakwaan mesej sebenar hantaran Facebook Ismail Sabri sebenarnya ditujukan kepada Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan mesyuarat Kabinet baru-baru ini yang dikatakan panas, komen mengaitkan kerajaan pintu belakang adalah tidak relevan.
"Ini kerana apa yang penting kerajaan Perikatan Nasional (PN) disokong oleh majoriti ahli Parlimen yang yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan.
"Saya lebih melihat tafsiran Dr Mahathir, sekadar mencerminkan kekesalan dan kekecewaan beliau kerana tidak lagi menjadi Perdana Menteri susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Dr Mahathir menyatakan keliru dengan hantaran status Facebook Ismail Sabri Yaakob berkenaan ‘tutup pintu depan’ yang mengundang spekulasi ramai.
Hal ini kerana, Dr Mahathir menjelaskan tidak dapat mengenal pasti mengenai pintu yang dimaksudkan Ahli Parlimen Bera berkenaan.
Bagaimanapun Ismail Sabri menyatakan tiada sebarang maksud tersirat di sebalik kenyataan tersebut melainkan mahu pulang selepas selesai waktu kerja.
Sementara itu, Jeniri berpandangan Dr Mahathir sememangnya terkenal sebagai pemimpin yang menggunakan logiknya sendiri untuk memenuhi agenda peribadi atau partinya.
Tambah beliau, Dr Mahathir sering menggunakan segala kesempatan untuk memberi gambaran bahawa kerajaan sekarang tidak sah dan tidak mendapat mandat daripada rakyat.
"Seorang pemimpin politik tidak mungkin mengungkapkan sesuatu sesuka hati, malah kadang-kadang mereka menyampaikan mesej atau maksud dengan berpegang kepada peribahasa 'pukul anak sindir menantu'.
"Rakyat tidak harus ambil serius pandangan Dr Mahathir yang semakin tidak lagi berjejak, melainkan bersalut agenda kekecewaan ekoran kesilapannya sendiri sehingga PH tidak lagi berkuasa," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca