"GUNAKANLAH proses pemilihan mengikut perlembagaan persatuan untuk melakukan perubahan sekiranya masih sayangkan sukan sepak takraw negara ini.” Itu nasihat bekas jurulatih skuad takraw kebangsaan, Haris Abdul Rahman ketika mengulas... Klik di sini untuk terus membaca

"GUNAKANLAH proses pemilihan mengikut perlembagaan persatuan untuk melakukan perubahan sekiranya masih sayangkan sukan sepak takraw negara ini.”

Itu nasihat bekas jurulatih skuad takraw kebangsaan, Haris Abdul Rahman ketika mengulas kemelut semasa yang melanda Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang disifatkannya masih boleh diselesaikan secara lebih profesional oleh persatuan dan bekas ahli gabungan.

Malah menurut Haris, apabila terdapat dalam kalangan ahli persatuan yang mula menarik diri daripada PSM sekali gus ia menunjukkan bahawa ahli gabungan sudah mampu melakukan perubahan.

"Namun perubahan tersebut perlulah dilakukan dengan lebih bijaksana dan terhormat dalam kalangan ahli gabungan mengikut peraturan dan perlembagaan PSM.

"Apa yang berlaku pada ketika ini seolah-olah seperti cerita kartun apabila terdapat dalam kalangan ahli gabungan yang 'memberontak' kerana kecewa dengan situasi yang berlaku terhadap PSM.

"Kita kena ingat bahawa PSM merupakan antara persatuan sukan tertua dunia yang bermula di negara ini, malah kita sudah pun ada nama yang cukup dikenali dalam sukan ini.

"Sekiranya nak kata persatuan tidak menjalankan mesyuarat dan aktiviti, persatuan ada menjalankan semua perkara di atas begitu juga dengan ahli gabungan lain. Cuma kes yang berlaku sekarang melibatkan Tok Mat dengan ASTAF. Itulah yang perlu difahami semua,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Haris sebelum ini pernah mengemudi skuad negara mencipta pelbagai kejohanan sepak takraw dari pertengahan 80-an sehingga 90-an antaranya juara Piala Raja Thailand 1988, juara regu Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, juara regu Sukan Asia Beijing 1990, juara regu Sukan SEA Manila 1991 dan juara regu Sukan Asia Hiroshima 1994.

Pada masa sama Haris percaya perlembagaan PSM masih boleh dipinda sekiranya terdapat beberapa perkara yang kurang disenangi dalam piagam persatuan tersebut oleh bekas ahli gabungan.

"Seperti yang saya maklumkan tadi, semuanya perlu dilakukan mengikut sistem dan peraturan ditetapkan dan paling penting tidak bertentangan dengan garis panduan ditetapkan Pesuruhjaya Sukan.

"Nasihat saya, isu sukan sepak takraw ini belum lagi parah, kita selesaikan secara rundingan dalam kalangan kita kerana ia sukan tradisi negara.

Kita ada sejarah sendiri dengan sukan sepak takraw ini.

"Janganlah berpaut kepada orang luar yang pencapaiannya belum pun atau setanding dengan yang pernah skuad sepak takraw negara raih sebelum ini.

"Mari kita kembali ke meja rundingan dengan nawaitu untuk selesaikan setiap masalah di rumah kita dengan gaya dan cara kita,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca