KUMPULAN 11 atau kini lebih dikenali dengan gelaran G11 tetap dengan keputusan mereka untuk menubuhkan entiti baharu biarpun Datuk Seri Ahmad Ismail telah mengumumkan peletakan jawatannya selaku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

KUMPULAN 11 atau kini lebih dikenali dengan gelaran G11 tetap dengan keputusan mereka untuk menubuhkan entiti baharu biarpun Datuk Seri Ahmad Ismail telah mengumumkan peletakan jawatannya selaku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran berkata, G11 mahu meneruskan hasrat menubuhkan PSM 2.0 bagi mengembalikan persatuan berkenaan sebagai salah satu ahli gabungan di bawah Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Beliau memberitahu, hasrat berkenaan selaras dengan cita-cita G11 yang mahu memastikan sukan sepak takraw terus berkembang di persada antarabangsa seterusnya dipertandingkan di pentas Sukan Olimpik serta Sukan Komanwel suatu hari nanti.

"Kami masih meneruskan penubuhan entiti baharu PSM. Lagipun, PSM secara rasmi dah digugurkan daripada ASTAF pada 20 Mei lalu dan untuk diterima semula, kami kena merayu dan mendapat 'pengampunan' ASTAF.

"Itu pun kalau ASTAF nak terima PSM semula, kalau tidak diterima macam mana? Dalam soal ini kami tetap salahkan Tok Mat (Ahmad) atas kedegilan beliau selama ini sehingga mencetuskan koflik antara PSM dan ASTAF,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

G11 terdiri daripada 11 ahli gabungan yang mengumumkan keluar daripada PSM selepas mereka dilaporkan kecewa dengan kepimpinan Ahmad yang mula menerajui PSM sejak 27 Disember 2002.

Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden PSM berkuat kuasa 12 tengah malam Sabtu susulan kemelut yang melanda badan induk sepak takraw negara itu sehingga tercetusnya pergeserannya dengan ASTAF.

Ahmad turut menggesa kesemua 11 ahli gabungan yang sudah keluar untuk kembali bagi membangunkan semula PSM bersama lima lagi persatuan sepak takraw negeri yang masih bersama badan itu.

Bagaimanapun, Markiman yang tewas dalam sesi pemilihan PSM bagi jawatan presiden sebelum ini menyifatkan tawaran Ahmad agar G11 kembali menyertai PSM sebagai sudah terlalu lewat.

"Sepatutnya tawaran itu dibuat ketika hanya satu atau dua ahli gabungan menarik dir. Bukannya seperti hari ini yang menyaksikan sebanyak 11 ahli gabungan membuat keputusan menarik diri daripada PSM.

"Kami juga tak boleh buat keputusan sendiri untuk kembali kepada PSM. Kami harus berbincang mengenai pro dan kontra akibat tindakan yang telah dibuat (keluar daripada PSM). Kini prosesnya sama, kena lalui prosedur yang sama.

"Kalau nak masuk semula (PSM), umpama kami nak jilat ludah balik. Pasti kami akan ditanya, kenapa sekarang? Keluar, masuk apa cerita? Kumpulan (G11) ada kepentingan? Kami kena jelaskan semua itu,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca