SHAH ALAM - Kerajaan disarankan untuk menggerakkan unit bergerak vaksin Covid-19 dengan segera ke sektor-sektor industri seiring dengan peningkatan penerimaan dos vaksin di Malaysia mulai bulan ini.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, inisiatif itu bagi membolehkan mereka yang perlu bertugas dalam keadaan kes aktif melebihi 80,000 sekarang dapat dilindungi daripada jangkitan serius yang berpotensi membawa maut.
Menurutnya, melalui perkembangan terkini, beliau berpendapat bahawa total lockdown yang dilaksanakan ketika ini tidak begitu menyeluruh sepertimana yang diharapkan.
"Sejumlah mereka yang berada dalam sektor industri, diberikan pengecualian. Dalam masa yang sama, melalui data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita dapati mereka yang berada dalam sektor pekerjaan merupakan penyumbang utama kluster-kluster baharu jangkitan Covid-19, yang mana ia seterusnya merebak dalam keluarga dan komuniti masing-masing.
"Jadi sudah sampai masanya mereka yang berada di lapangan turut diutamakan dalam fasa ketiga pemberian vaksin ini,” katanya kepada Sinar Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Penjawat awam tidak terlibat dengan dakyah gerakan antivaksin
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mekanisme yang boleh dilakukan kerajaan supaya ketibaan lebih banyak vaksin dapat dimanfaatkan agar lebih ramai rakyat menerima suntikan itu.
Menyentuh mengenai ketibaan lebih banyak vaksin itu, Dr Malina berkata, situasi tersebut merupakan perkembangan positif dalam konteks negara berusaha mempertingkatkan bilangan penerima vaksin seterusnya mencapai imuniti kelompok.
"Dalam situasi sekarang, kita perlu menggabungkan semua aktiviti kawalan dan pencegahan kesihatan awam sedia ada selain mempertingkatkan kadar vaksinasi.
"Pendekatan terbaik ialah mempertingkatkan kadar ujian saringan dan segera mengasingkan mereka yang positif. Pada masa yang sama, mereka yang negatif perlu segera diberikan vaksin,” kata beliau.