SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin tiada penjawat awam terlibat dalam gerakan antivaksin.
Presidennya, Adnan Mat berkata, ia terbukti apabila pemberian vaksin yang melibatkan lebih 500,000 barisan hadapan penjawat awam berjaya dilaksanakan.
"Walaupun terdapat gerakan antivaksin yang menghasut rakyat untuk tidak menerima vaksin tetapi tiada isu berbangkit mengenai penjawat awam yang menolak suntikan vaksin,” katanya kepada Sinar Ahad di sini pada Sabtu.
Adnan turut menyeru semua penjawat awam menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan negara ‘menang dalam perang’ melawan Covid-19.
Katanya, sebagai jentera hadapan pentadbiran negara, penjawat awam wajar menjadi contoh meyakinkan masyarakat untuk mendapatkan vaksin.
Beliau berkata, pelaksanaan program pemberian vaksin terbesar dalam sejarah negara itu merupakan usaha yang tidak boleh gagal kerana ia peluang terakhir untuk kembali menikmati kehidupan sebelum penularan Covid-19.
ARTIKEL BERKAITAN: Segerakan unit vaksin ke sektor industri
Justeru, Adnan berharap masyarakat awam juga memberikan kerjasama yang baik dan bersedia mengambil vaksin.
"Sudah tentu vaksin terbaik ketika ini adalah diri kita sendiri dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu dalam kehidupan seharian,” katanya.
Bagaimanapun tegasnya, Cuepacs melihat pematuhan terhadap SOP masih rendah menjadikan kes jangkitan harian Covid-19 kekal tinggi.
"Apabila SOP diperketatkan kita meminta kerajaan melonggarkannya dan apabila ia dilonggarkan masyarakat mengambil kesempatan.
"Jadi langkah terakhir dan terbaik untuk rakyat sudah ialah program vaksinasi yang akan membentuk imuniti berkelompok apabila sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin."Jangan terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan berita tidak benar mengenai usaha vaksinasi. Ketika ini pelbagai saluran telah dibuka untuk pendaftaran vaksin selain aplikasi MySejahtera, jangan bertangguh untuk mendaftar,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca