PERISTIWA terlibat dengan kemalangan dan dibantu oleh Al-Sultan Abdullah menjadi peristiwa yang tidak mungkin dilupakan oleh seorang penjawat awam yang bertugas di Putrajaya.
Walaupun sudah hampir dua tahun berlalu, Pegawai Penerangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Putrajaya, Jasliza Jamil, 39, berkata, peristiwa dibantu sendiri Yang di-Pertuan Agong ketika nahas jalan raya itu amat menyentuh hati.
ARTIKEL BERKAITAN: PM sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong
"Pada hari kejadian saya memandu sendiri kereta ke pejabat terletak di Presint 2, Putrajaya dalam keadaan hujan renyai. Malang tidak berbau apabila kereta yang dipandu terbabas ke pembahagi jalan ketika melalui kawasan susur Persiaran Barat, Lebuh Sentosa.
"Pada ketika itu, saya masih dalam keadaan trauma dan duduk di dalam kereta apabila melihat seseorang yang disangkakan anggota polis bertanyakan sesuatu.
"Namun saya amat terkejut apabila diamati sosok tubuh yang memakai songkok dengan lilitan putih diiringi payung kuning itu ialah Seri Paduka Baginda,” katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga Istana Negara sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong
Pada 26 Jun 2019, Al-Sultan Abdullah telah mencemar duli turun dari kenderaan rasmi untuk memberi bantuan kepada Jasliza.
Seri Paduka Baginda ketika itu dalam perjalanan ke Mesyuarat Pra-Kabinet bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Istana Melawati.
Selain turun melihat keadaan Jasliza, Tuanku turut menawarkan pertolongan ke hospital jika mengalami kecederaan.
ARTIKEL BERKAITAN:Agong tunjang negara depani tri-krisis
"Selepas bertanyakan keadaan, Seri Paduka Baginda memberi arahan kepada pengiring untuk uruskan perubatan dan membuat laporan polis dengan segera.
"Sebelum beredar, Seri Paduka Baginda sempat memberi pesanan kepada saya untuk menjaga diri dan lebih berhati-hati di jalan raya.
"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi atas keluhuran hati budi dan menyanjung tinggi kemuliaan peribadi Seri Paduka Baginda. Alhamdulillah, semua urusan berkaitan kemalangan tersebut telah diselesaikan dengan bantuan keprihatinan Tuanku," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bangga berkhidmat untuk Agong berjiwa rakyat
Tambahnya, rakyat Malaysia patut berasa bangga kerana dikurniakan Yang di-Pertuan Agong atau seorang pemimpin negara yang menunjukkan sifat ramah dan keprihatinan terhadap rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca