KITA baru sahaja meraikan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lalu untuk menunjukkan komitmen warga global dalam usaha menjaga, melindungi dan memelihara alam sekitar.
Malangnya, usaha ini tidak seiringan kerana sejak sekian lama pelbagai bentuk pencerobohan haram telah dilakukan terhadap pelbagai komponen alam sekitar demi mengaut keuntungan lumayan dengan menjarah segala sumber daya yang ada.
Ternyata ada pihak yang mengambil peluang bertindak di luar batasan perundangan dengan menceroboh tanah di tepi sungai untuk membina rumah dan kilang, menceroboh dan mencuri kayu balak, mencuri pasir, menarah gunung malah bertindak sebagai pemburu haram dengan ‘dibantu’ oleh segelintir pihak berkuasa yang telah diamanahkan untuk menjaga kelestariannya.
Pelakuan rasuah membabitkan alam sekitar ini menyebabkan negara kehilangan aset bernilai jutaan ringgit.
Rasuah dan pelanggaran integriti
Negara mengandungi banyak sumber alam sekitar berharga yang boleh diguna untuk menjana ekonomi, tetapi kita kehilangan semua kelebihan ini hanya kerana rasuah.
Hakikatnya, insiden pencemaran alam sekitar dianggap gagal ditangani dengan baik dan semakin kerap berlaku yang akhirnya menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat disebabkan wujud kelemahan penguatkuasaan, unsur kecuaian serta integriti.
Selagi isu ini gagal diatasi, selagi itulah kegiatan tidak beretika seperti ini akan berterusan kerana setiap kegiatan haram atau penipuan tersebut berlaku disebabkan adanya ‘kolaborasi’ antara orang dalam dan orang luar seperti pembabitan ejen haram sehingga menyumbang kepada kerosakan ekosistem yang akhirnya menjejaskan keseimbangan ekologi.
Isu rasuah dalam sektor pembalakan misalnya bukanlah satu perkara yang baru, pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh media massa menyebabkan masyarakat semakin peka dan prihatin dengan alam persekitaran mereka kerana aktiviti tidak bertanggungjawab ini mengakibatkan kemusnahan kawasan tadahan air, pemendapan sungai, pencemaran sungai dan banjir yang merupakan natijah yang tidak dipeduli asal dapat meraih keuntungan maksimum.
Malahan, ‘kehadiran’ pusat pelupusan sampah haram yang semakin bercambah, kilang haram di sepanjang sungai, pengimportan sisa pepejal, mahupun pusat pengumpulan besi buruk sudah pasti diketahui penguatkuasa melalui rondaan harian yang dilakukan di kawasan pentadbiran mereka.
Namun, amanah untuk memantau dan mengambil tindakan melalui kuasa yang diberikan tidak dilaksanakan dengan jujur, sekaligus tiada tindakan diambil ke atas pemilik premis yang mencemar walaupun mereka dapat mengesan kerosakan yang bakal berlaku sejak awal.
Hakikatnya, amalan rasuah alam sekitar kini merupakan wabak sosial yang mesti dibanteras habis-habisan hingga ke akar umbi.
Susulan degradasi kualiti alam sekitar pada kadar yang membimbangkan, penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta jenayah alam sekitar yang semakin berleluasa sangat ditagih.
Rekod SPRM menunjukkan sebanyak 85 peratus pertuduhan rasuah alam sekitar membabitkan kes mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan memberi rasuah oleh orang awam kepada pegawai kerajaan.
Pada 30 Jun 2015 misalnya, SPRM menahan 21 pekebun sayur termasuk warga Bangladesh yang cuba merasuah anggota penguatkuasa di Cameron Highlands sehingga RM30,000 bagi mengelakkan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Ekoran itu, SPRM telah mewujudkan Environmental Protection and Anti-Corruption Caucus (EPACC) bagi menangani salah laku rasuah berkaitan pencabulan alam sekitar daripada terus berulang.
Rangkaian kerjasama strategik yang lebih erat akan dijalin dengan agensi-agensi seperti pejabat tanah, polis, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen dalam usaha membendung dan memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah rasuah.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca