TIADA alasan lagi buat skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif ketika menentang Vietnam pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 12 Jun ini.
Bekas pengendali kebangsaan, Dollah Salleh berkata, bukan sesuatu yang mustahil bagi Malaysia untuk mencipta kemenangan ke atas Vietnam bersandarkan keupayaan kedua-dua pasukan ketika ini.
"Vietnam ini kalau dilihat sama level dengan pasukan negara. Jadi pada perlawanan itu nanti, kita tidak seharusnya kalah tetapi kita boleh mencipta kejutan dengan meraih kemenangan.
"Pasukan negara juga tidak boleh terus beri macam-macam alasan seperti kurang perlawanan selepas dua aksi persahabatan dan perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Sepatutnya sekarang mereka sudah bersedia sepenuhnya.
"Saya mengharapkan corak permainan kita lebih baik kerana jika mahu meraih keputusan yang positif, setiap pemain perlu memberikan segala-galanya di atas padang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Harimau Malaya memulakan baki aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan keputusan mengecewakan selepas dibelasah UAE 0-4 di Stadium Zabeel, Dubai pada awal pagi Jumaat lalu.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan turun dalam satu lagi aksi getir menentang Vietnam dengan rekod menyaksikan Malaysia gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir ke atas skuad Naga Emas itu.
Sebaliknya, kali terakhir Malaysia berjaya meraih kemenangan adalah ketika aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014 di Hanoi menewaskan Vietnam 4-2 dengan ketika itu Harimau Malaya dibimbing Dollah.
Mengulas lanjut, Dollah berkata, kekuatan Vietnam yang dibimbing pengendali dari Korea Selatan, Park Hang-seo jauh berbeza berbanding ketika mereka diterajui jurulatih kelahiran Jepun, Toshiya Miura sebelum ini.
"Apa yang saya lihat, kekuatan utama pasukan Vietnam sekarang adalah dari segi keserasian selepas kesemua pemain itu sudah bersama hampir enam tahun.
"Kalau tak silap saya, pasukan Vietnam dibentuk lama untuk bermain pada Piala Dunia Remaja. Mereka sudah bersama sejak lima hingga enam tahun. Jadi agak berbeza dengan pasukan yang kita menang pada tahun 2014 itu.
"Yang penting sekarang pasukan negara kena melakukan perubahan dalam corak permainan selain tunjukkan persefahaman yang bagus. Saya percaya Malaysia boleh bangkit untuk mencari keputusan positif menentnang Vietnam,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca