HARIMAU Malaya perlu cuba sedaya upaya untuk meraih keputusan positif ketika menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 12 Jun ini.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah menyifatkan pertembungan menentang pasukan naga emas itu umpama perhitungan maruah selepas prestasi longlai dipamerkan Harimau Malaya ketika tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Menurut Mohd Azraai, kekalahan atau aksi memalukan seperti dibelasah Vietnam bukanlah satu keputusan yang dimahukan apatah lagi skuad negara dikenali dengan deretan pemain kacukan dan naturalisasi.
"Sebelum kita ke UAE untuk hadapi kejohanan tersebut, kita umpama mendapat kekuatan luar biasa dengan kehadiran beberapa pemain naturalisasi dan pemain kacukan. Bagi saya sendiri apabila melihat pasukan ini, saya bersemangat kerana kita seperti ada kelebihan dengan pemain yang dikatakan bagus.
"Namun, apabila perlawanan menentang UAE, bukan saya seorang sahaja tetapi semua orang kecewa dengan prestasi pemain yang dijelmakan di atas padang. Ditambah pula dengan sikap dan permainan pemain naturalisasi yang sangat teruk.
"Saya sendiri rasa malu sebab pasukan kita gah dibarisi ramai pemain naturalisasi dan kacukan, tetapi hasilnya sangat kurang memuaskan. Jadi, Harimau Malaya kena buat sesuatu demi maruah bola sepak kita. Kalau kecundang atau dibelasah Vietnam, kita tak tahu nak letak muka kat mana dah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Harimau Malaya dijangka berdepan tugas sukar untuk meraih keputusan positif ketika menentang Vietnam jika diukur kepada prestasi semasa kedua-dua pasukan apatah lagi skuad kendalian Park Hang-seo itu mudah membelasah Indonesia 4-0 dalam aksi pada Selasa.
Namun, bagi Mohd Azraai tiada yang mustahil dalam bola sepak selain menasihati skuad negara supaya tidak lalai sepanjang 90 minit perlawanan.
"Kita kena akui Vietnam sekarang bukan Vietnam yang dulu. Kalau masa saya main mewakili negara, kejohanan Pestabola Merdeka pun kita tak jemput mereka. Namun, mereka telah meningkat dengan mendadak dengan kelab dalam liga mereka sangat bagus selain terbukti kemampuan mereka di pentas Asia.
"Bukan jalan mudah untuk meraih keputusan yang baik ketika menentang pasukan itu. Coach Tan (Cheng Hoe) kena ada ramuan berbeza selepas kita tewas kepada UAE baru-baru ini dan beliau kena cipta kesebelasan utama terbaik untuk tundukkan Vietnam.
"Malah, semua pemain kena ingat kita hanya ada dua perlawanan lagi dan ini peluang terbaik untuk layak ke peringkat seterusnya. Dengan penuh harapan, sebagai penyokong pasukan negara saya harap Harimau Malaya dapat tampilkan permainan yang lebih baik,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca