SETIAP kali membaca berita atau menonton video yang dikongsi di Facebook mengenai kematian akibat Covid-19, penulis tidak mampu untuk menahan air mata daripada tumpah.
Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, isteri dan anak, penulis turut merasai ‘keperitan’ mereka yang kehilangan insan tersayang akibat virus maut itu.
Di Port Dickson, lima adik-beradik menjadi yatim piatu dalam tempoh seminggu apabila ibu bapa mereka pergi selang beberapa hari.
Tidak kurang ada mangsa meninggal berseorangan di katil. Hanya panggilan video terakhir menjadi kenangan bagi mereka yang tinggal.
Tiada lagi pengebumian seperti kebiasaan. Tiada iringan ahli keluarga ketika jenazah dibawa ke tanah perkuburan.
Tiada lagi anak-anak, suami atau saudara-mara yang membantu menurunkan jasad si mati ke liang lahad.
Sebaliknya tugas itu dilakukan oleh pihak berwajib berpakaian PPE.
Sanak saudara hanya mampu mendoakan dari jarak 200 meter, itupun jika dibenarkan.
Itulah hakikat yang perlu kita terima. Virus jahat Covid-19 akan diingat sebagai tragedi abad ini.
Situasi jangkitan Covid-19 mencecah lebih 6,000 kes sehari amat menakutkan.
Malah, ketika negara mencatat jumlah kematian tertinggi turut disifatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai detik hitam.
Doktor juga terpaksa membuat pilihan sukar mengutamakan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit berpotensi sembuh lebih tinggi.
Justeru, kita perlu memperhebatkan vaksinasi Covid-19. Di negara seperti United Kingdom (UK), kira-kira 50 peratus penduduk melengkapkan dua dos vaksin, kadar jangkitan dan kematian pesakit 60 tahun ke atas menunjukkan penurunan memberangsangkan.
Terbukti pengambilan vaksin adalah salah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa individu dan juga sebuah komuniti masyarakat khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19 ini.
Islam mengajar kita supaya sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan dari apa juga kemudaratan, khususnya wabak penyakit.
Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: "Jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”
Nabi Muhammad SAW juga mengajar umatnya supaya berubat dan mencari penawar sesuatu penyakit.
Nabi kata, berubatlah, ikhtiarlah kamu dan carilah penawar. Jadi melakukan ikhtiar, kuarantin, vaksin dan patuh prosedur operasi standard (SOP) itu salah satu usaha merawat.
Semua pihak kini bertungkus-lumus dan mengembleng tenaga untuk memastikan masyarakat menerima suntikan vaksin bagi menghindar wabak Covid-19.
Namun, vaksin dan fasiliti cukup belum boleh memastikan imuniti kelompok dapat dicapai sekiranya mentaliti masyarakat belum berubah.
Lebih parah apabila muncul golongan antivaksin yang tidak pernah berhenti memanipulasi segala fakta hingga setiap masa, ada sahaja ‘dakyah palsu’ serta cerita mitos mengenai vaksin disebarkan.
Sedih kerana mereka ini bukan golongan ‘bumi itu petak’ sebaliknya adalah golongan profesional yang belajar hingga ke luar negara.
Kekangan besar wujud apabila sebahagian masyarakat lebih mempercayai mitos serta dakyah palsu sehingga keliru terhadap suntikan vaksin Covid-19 yang diiktiraf.
Usaha kerajaan tetap dikalahkan dengan lambakan berita dan maklumat palsu yang menular melalui media sosial. Berita palsu ini membanjiri media sosial sehingga menenggelamkan berita rasmi kerajaan dan pakar perubatan.
Sikap antivaksin ini memang cukup mual dan jelik. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin dan berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.
Justeru, kerajaan perlu lebih tegas mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 kepada penyebar berita palsu terutama mengenai vaksin Covid-19. Hukuman dikenakan wajar dihebahkan supaya menjadi pengajaran.
* Azie Yahaya ialah Web Editor Sinar Harian Online
Klik di sini untuk terus membaca