SHAH ALAM - "Saya terkejut apabila muka saya jadi merah macam udang kena bakar selepas menggunakan satu produk komestik.” Demikian luahan seorang mangsa, Norlina Liza Omarmayah, 31, yang pernah menggunakan produk kosmetik dipercayai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Saya terkejut apabila muka saya jadi merah macam udang kena bakar selepas menggunakan satu produk komestik.”

Demikian luahan seorang mangsa, Norlina Liza Omarmayah, 31, yang pernah menggunakan produk kosmetik dipercayai mengandungi racun berjadual.

Menurut Norlina Liza, sebelum ini dia pernah memakai satu produk yang terdapat di pasaran yang didakwa mampu memutihkan kulit wajah dalam masa seminggu sahaja.

"Dulu saya pernah pakai, muka memang licin, putih dan sempurna. Tapi saya tak boleh kena cahaya matahari, muka saya jadi merah macam udang bakar.

"Kemudian, selepas berhenti, muka saya naik jeragat dan bintik-bintik merah.

"Sampai sekarang saya tak pakai mana-mana produk kosmetik lebih-lebih lagi yang ‘timbang kilo’,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut seorang lagi mangsa, Zureen Umairah Zamri, 24, dia sebelum ini pernah mengeluarkan kos yang banyak untuk mendapatkan produk kosmetik.

"Sekali beli RM200. Kalau pakai secara konsisten memang kulit akan jadi cantik. Tapi bila dah tak pakai, muka saya makin teruk.

Kulit wajah Zureen Umairah ketika memakai produk komestik mengandungi racun berjadual.

"Selain dinaiki jerawat, saya juga alami masalah liang pori besar dan bawah mata penuh dengan jeragat.

"Sekarang pun kalau cuba pakai balik, memang dah tak okey. Muka akan rasa pedih dan menggelupas,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Nurul Wahida Baharin berkata, dia juga pernah mengalami kesan sampingan seperti ruam dan bintik-bintik merah pada muka.

Jelasnya, dia membeli produk kosmetik tersebut akibat terpengaruh dengan rakan sewaktu di bangku sekolah.

"Pada awalnya, kulit saya hanya mengalami tona kulit tak sekata kerana pada ketika itu saya aktif bersukan.

"Setelah saya memakai produk ini, seluruh wajah saya dipenuhi jerawat nanah malah menggelupas dengan teruk.

"Selepas kejadian itu, saya tidak lagi meneruskan pemakaian produk berkenaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai inisiatif yang diambil untuk merawat semula kulit tersebut, dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan doktor pakar kulit meskipun terpaksa menghabiskan wang berjumlah ratusan ringgit.

Nurul Wahida berkata, proses rawatan tersebut adalah mengikut kesesuaian dan keadaan kulit individu.

"Selalunya doktor akan bagi ubat makan antibiotik, ubat hormon dan ubat sapu. Tempoh rawatan ambil masa selama setahun. Alhamdulillah, jerawat makin surut, kulit saya pun dah kembali normal,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca