BELALANG tidak pernah terfikir di zaman serba moden dan maju ini, budaya surat layang masih lagi beredar, malah jika diikutkan makin menjadi-jadi.
Sebelum Belalang melangkah ke alam pekerjaan, Belalang tidak pernah tahu apa itu surat layang. Apa lagi untuk melihat dan membacanya.
Maka, jika nak dikatakan yang alam pekerjaan telah mendedahkan Belalang kepada satu budaya baharu yang begitu asing dan jijik dalam hidup, ia tidaklah salah.
Masalah besar mengenai surat layang adalah ia mencetuskan keraguan dan tanda tanya dalam diri orang yang membacanya.
Hakikat bahawa surat layang tidak mengandungi nama penulis surat itu menambahkan lagi rasa ingin tahu orang yang membacanya.
Tapi itulah motif surat layang – untuk mencetuskan sedetik keraguan dalam diri siapa saja yang membacanya.
Ia ternyata benar apabila Belalang menerima pertanyaan yang bertubi-tubi mengenai satu edaran dalam alam maya yang menyatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan sidang akhbar khas untuk mengumumkan kemasukannya dalam parti Pejuang yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.
Surat layang itu siap memberi tarikh, waktu dan tempat pengumuman itu akan dilakukan. Dalam banyak-banyak pertanyaan yang masuk, ada yang datang daripada VIP seperti menteri dan bekas menteri sendiri.
Mereka bertanya kerana surat layang mengenai pengumuman tersebut telah berjaya mencetuskan keraguan dalam diri mereka.
Oleh kerana mereka diselubungi keraguan yang tinggi, satu-satunya cara untuk memperoleh kepastian adalah bertanya kepada orang yang mereka rasa tahu akan kedudukan perkara sebenar.
Jika mereka sejak dari awal lagi yakin bahawa itu adalah sekadar khabar angin dan berita palsu kerana sifatnya pun adalah surat layang, sudah tentu mereka tidak bersusah payah mencari orang yang dapat mengesahkannya.
Masalahnya adalah mereka mahu mempercayainya. Dan kepercayaan mereka itu didorong oleh keraguan di bawah sedar yang berjaya dicetuskan oleh surat layang tersebut.
Dari satu sudut, matlamat surat layang itu berjaya dan berkesan kerana ia mencetuskan panik serta keraguan di bawah sedar.
Selang tidak lama selepas itu, muncul satu lagi surat layang yang mengatakan dua orang menteri kabinet akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Seorang daripada mereka akan menjadi perdana menteri, manakala seorang lagi akan mengisi jawatan timbalan perdana menteri.
Sekali lagi surat layang itu berjaya mencetuskan keraguan dan tanda tanya sehingga ramai yang menelefon ke sana sini meminta penjelasan dan menanyakan benar atau tidak.
Dan kemuncak kepada siri surat layang itu adalah beredarnya surat (dan kali ini dalam bentuk wajah surat yang sebenar) yang ditandatangani Presiden UMNO memecat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai ahli berkuatkuasa serta-merta.
Kesemua kekecohan ini tersebar dengan pantas dan meluas sehingga memaksa pihak yang dikaitkan dalam surat layang itu tampil membuat penjelasan dan penafian.
Satu-satunya yang membezakan surat layang zaman dulu dengan kini adalah jika dahulu ia muncul dalam bentuk surat secara fizikal dan diposkan kepada mereka yang menjadi sasaran tetapi kini ia dihantar menerusi alam maya iaitu internet dan media sosial – lagi pantas dan mudah.
Oleh kerana ia pantas dan mudah untuk disebar dan dicapailah, maka surat layang ini makin menjadi-jadi dan berkesan.
Dan semakin ia menjadi-jadi, makin ramai pula orang cenderung untuk mempercayainya walaupun mereka tahu itu hanyalah sekadar khabar angin – betapa ironinya hidup ini.
Belalang - Hanya tahu menulis berita dan rencana.
Klik di sini untuk terus membaca