SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya memberi kelonggaran pada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Sinar 2.0 secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.
Pakar Ekonomi Asia e University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, KWSP perlu mengenal pasti golongan yang terkesan dalam pandemik Covid-19.
Kelonggaran tersebut kata beliau, perlu dilaksanakan bagi mengelakkan golongan tersebut terlibat dengan peminjaman wang haram.
"Benarkan orang yang betul-betul susah keluarkan i-Sinar ini kerana untuk menampung kehidupan masa kini dan masa depan belum tentu lagi.
"Ini kerana kita risau, kalau dia tidak dapat keluarkan duit i-Sinar mereka akan pergi cari ah long, dah tambah masalah sebab nak pinjam daripada bank tidak boleh.
"Jadinya, bagilah kelonggaran sebab tua itu belum pasti berlaku, sekarang ini yang kita tengah hadapi kesusahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Selasa, kerajaan disaran melaksanakan i-Sinar dan i-Lestari 2.0 pada kadar separuh berbanding versi 1.0 untuk tempoh tiga bulan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengeluaran caruman daripada KWSP untuk i-Sinar 1.0 dan i-Lestari 1.0 cuma membawa penurunan 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan aset tabungan itu.
Dalam pada itu, Shazali berkata, keperluan rakyat adalah yang utama berbanding prestasi semasa KWSP.
Sehubungan itu, KWSP perlu lebih kreatif dalam mengawal prestasi untuk diagihkan kepada pencarum.
"Selama ini dividen (prestasi) disimpan, apa salahnya bagi dahulu, keluarkan dahulu di samping duit-duit yang disimpan.
"KWSP tidak perlu bagi RM10,000 seperti dahulu, hanya perlu lihat pada keadaan atau gaji yang bersesuaian,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca