SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpandangan adalah lebih baik waktu operasi semua premis termasuk kedai makan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak dilanjutkan memandangkan jumlah kes semasa Covid-19 di negara ini masih tinggi.
Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Safiya Amaran berkata, langkah itu perlu dalam usaha untuk mengekang penularan wabak yang boleh membawa maut tersebut.
Menurut beliau, semua pihak perlu sedar bahawa tempoh dua minggu mendatang ini sangat penting bagi melandaikan lekuk.
"Kita kena sedar bahawa risiko bagi orang yang bekerja di kedai makan itu sendiri meningkat sekiranya tempoh operasi ditambah.
"Kalau kita lihat sekarang ini kluster di tempat kerja yang dilaporkan setiap hari begitu banyak.
"Jadi, PKP dan SOP hadkan tempoh operasi kedai makan dari jam 8 pagi hingga 8 malam ini adalah untuk elakkan orang keluar rumah pada waktu malam yang mungkin boleh meningkatkan peluang bertemu orang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) supaya kerajaan melanjutkan waktu operasi restoran dari 6 pagi hingga 10 malam ketika PKP 3.0.
Mengulas lanjut, Dr Safiya yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam berkata, tidak dinafikan ramai khususnya peniaga terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 ini, namun masyarakat perlu sedar bahawa tindakan sedemikian perlu diambil dalam memastikan rantaian jangkitan wabak itu diputuskan.
Katanya, sebagai alternatif, orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat pesanan lebih awal bagi membolehkan pemilik premis makanan dapat menyiapkan tempahan sebelum waktu operasi tamat.
SOP PKP 3.0 menetapkan tempoh operasi semua premis perniagaan termasuk kedai makan bermula dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Kerajaan pada Jumaat memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKP untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa bermula esok sehingga 28 Jun ini.
Klik di sini untuk terus membaca