SHAH ALAM - Persatuan Pekebun-Pekebun India Cameron Highlands meramalkan bekalan sayur dari kawasan tersebut terjejas dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.
Presidennya, Mathan Subramaniam berkata, semua sayur yang sedang ditanam pada ketika ini akan rosak jika ia tidak diuruskan oleh pekerja ladang.
"Bila pekerja tidak menguruskan ladang, sayur semua akan rosak kerana pokok memerlukan baja dan pengairan setiap hari dan kesannya bukan berlaku 14 hari sahaja, tetapi ia beri kesan dalam masa tiga bulan ke hadapan juga.
"Ini kerana sekiranya tanaman itu mati, setiap tanaman memerlukan masa beberapa bulan sebelum boleh mula dituai selepas ditanam semula. Contohnya, tomato dan kubis tiga bulan manakala cili empat bulan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Mathan menjelaskan, pelaksanaan perintah tersebut menyebabkan kawasan yang terbabit itu tidak dapat diakses oleh pekebun di kawasan berkenaan untuk sebarang urusan.
"Lebih kurang 65 peratus pekebun yang terjejas. Bukan sahaja di kawasan Cameron Highlands, tetapi juga termasuk di kawasan sekitar seperti Lojing.
"Ini kerana tempat yang dikenakan PKPD itu terletak di kawasan tengah. Jadi, semua pekebun dari sini (Cameron Highlands) tidak dapat sampai ke sana untuk masuk ke ladang,” katanya.
Ujar beliau, pekerja di kawasan yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD juga tidak dapat bekerja dan menguruskan tanaman di ladang sepanjang pelaksanaan perintah tersebut.
Mengulas lanjut, Mathan berkata, kesan kenaikan harga sayuran di dalam negara dijangka akan mula dirasai dalam tempoh dua ke tiga hari lagi.
"Hari ini (Isnin) atau esok (Selasa) kita tidak tahu sebab semalam (Ahad) kita dah keluarkan hasil sayuran berapa banyak yang boleh untuk tiga hari. Lepas tiga hari atau empat hari lepas tu kita dah jangka akan berlaku kenaikan harga,” jelasnya.
Menurut Mathan, dalam situasi normal, hasil sayuran yang keluar daripada kawasan ladang Cameron Highlands adalah sebanyak 560 tan setiap hari.
Bagi menangani masalah yang dihadapi pekebun, beliau berharap supaya pihak berkuasa dapat memberikan permit khas bagi membolehkan pekebun mendapat akses ke ladang masing-masing.
Katanya, pihak berkuasa juga diharapkan dapat bekerjasama dengan pekebun untuk memastikan pekerja ladang dapat melakukan ujian saringan Covid-19 dan seterusnya membolehkan ladang yang bebas daripada penularan wabak tersebut untuk beroperasi.
Sementara itu, beliau juga telah mendaftarkan kesemua pekerjanya untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Klik di sini untuk terus membaca