BEKAS Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail perlu melakukan satu lagi pengorbanan besar selepas secara gentleman melepaskan jawatan kerusi nombor satu badan induk sepak takraw negara baru-baru ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, Ahmad juga harus melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (PESENANG) yang disandangnya ketika ini.
Beliau memberitahu, itu antara tindakan yang perlu dilakukan Ahmad atau lebih mesra disapa Tok Mat selepas dikenakan hukuman penggantungan selama 17 tahun oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
"Saya percaya Tok Mat perlu melakukan satu lagi pengorbanan besar untuk memastikan suasana kembali lebih tenang dalam arena sepak takraw negara khasnya di peringkat akar umbi di Pulau Pinang.
"Secara umum, saya seperti pemerhati sukan sepak takraw tempatan yang lain percaya Tok Mat masih mempunyai pengaruh besar dalam PESENANG, apatah lagi dengan jasa dan sumbangannya selama ini.
"Begitupun, kita harus ingat hukuman dikenakan ASTAF terhadapnya tidak hanya melibatkan larangan penglibatan aktiviti, program atau kejohanan bersama PSM, tetapi juga dengan ahli gabungan peringkat negeri dan sebagainya.
"Sekiranya Tok Mat masih kekal memegang jawatan baik di peringkat negeri atau daerah, ia sedikit sebanyak akan menjadi menjejaskan tidak hanya hubungan badan induk sepak takraw negeri tetapi juga hubungan kepimpinan baharu PSM kelak dengan ASTAF,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pada Ahad, Sukan Sinar melaporkan salah seorang pengasas awal persatuan sepak takraw negara ini, Tan Sri Yusoff Latiff menasihati Ahmad melepaskan jawatannya sebagai Presiden PESENANG sementara menunggu kesnya dengan ASTAF selesai melalui proses perundangan.
Ditanya sama ada Ahmad dapat melakukan comeback selepas menjalani proses penggantungan atau memenangi proses perundangan, Mohd Sadek berkata, semua itu bergantung kepada ahli gabungan PESENANG.
"Sama ada Tok Mat akan buat comeback atau tidak dalam bidang pengurusan dan pentadbiran badan sukan berkaitan sepak takraw, biarlah hanya masa menentukannya.
"Seperti yang saya katakan buat masa ini, Tok Mat perlu melakukan pengorbanan lebih besar dengan melepaskan jawatannya sebagai Presiden PESENANG.
"Selepas wujudnya kelompok yang keluar PSM, sudah tentunya komuniti takraw tempatan tidak mahu melihat wujudnya bibit-bibit perpecahan dalam kalangan ahli gabungan PESENANG pada masa depan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca