SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan tiada sebarang 'mesyuarat tergempar' akan diadakan di antara barisan menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada petang Selasa.
Penjelasan Ahli Parlimen Pontian itu disampaikan melalui satu kiriman aplikasi sosial WhatsApp, sekali gus mengendurkan persoalan mengenai intipati sebenar pertemuan mengejut berkenaan sekiranya diadakan.
"Tidak ada pertemuan atau mesyuarat itu," jawabnya kepada Sinar Harian secara ringkas pada Selasa.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas laporan sebuah portal tempatan yang memaklumkan satu mesyuarat luar biasa di antara Ahmad Zahid dan barisan menteri UMNO dijangka diadakan pada petang Selasa di bangunan WTC, Kuala Lumpur.
Jelas portal berkenaan, mesyuarat itu diatur secara mengejut oleh Menteri Kanan Keselamatan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setelah Ahli Parlimen Bera dikatakan menghantar surat jemputan sejak petang Isnin.
Portal berkenaan turut memaklumkan Ismail dikatakan akan mengadakan perjumpaan pra-mesyuarat sebagai persediaan berjumpa Ahmad Zahid bagi menerangkan tujuan sebenar perjumpaan.
Terdapat desas-desus mendakwa tujuan mesyuarat berkenaan adalah bagi meyakinkan Ahmad Zahid untuk menyokong tempoh proklamasi darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos hadapan.
Selain itu, pertemuan mengejut itu turut dikaitkan dengan perbincangan mengenai cadangan pelantikan Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO.
Penjelasan Ahmad itu turut diperakui Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan yang menegaskan tiada sebarang pertemuan seumpama itu bakal diadakan pada petang Selasa.
Secara ringkas, Naib Ketua Pemuda UMNO itu turut mengirimkan pesanan WhatsApp ringkas "Tidak ada" kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ismail Sabri sewaktu dihubungi Sinar Harian, tidak memberikan sebarang penjelasan dan sebaliknya hanya memaklumkan beliau sedang menyertai satu mesyuarat melibatkan menteri-menteri pertahanan negara ASEAN sebentar tadi.
"Saya (dalam) mesyuarat menteri-menteri pertahanan ASEAN," ujar beliau melalui kiriman WhatsApp.
Sinar Harian turut mendapatkan kepastian mengenai pertemuan itu dengan seorang pegawai khas pemimpin UMNO berstatus menteri, bagaimanapun sumber berkenaan turut menyatakan 'tidak pasti' terhadap kesahihannya.
"Menteri berada di Kuala Lumpur. Tetapi saya 'tidak sure' mengenai pertemuan dengan Presiden (UMNO). Saya nampak tidak ada dalam jadual beliau,"katanya.
Dalam pada itu, seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO enggan dikenali sebaliknya mengesahkan pertemuan mengejut itu sememangnya akan diadakan di bangunan Menara Onn Jaafar, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang ini.
Jelas sumber berkenaan, pihaknya bagaimanapun tidak pasti mengenai intipati sebenar mesyuarat berkenaan.
Jelas beliau, para perwakilan MKT UMNO juga tidak dimaklumkan lebih lanjut mengenai perihal pertemuan berkenaan.
"Ya, kami dimaklumkan mengenai pertemuan itu...Tetapi soal intipati pertemuan, saya tidak tahu pula.
"Soalan itu mungkin kena tanya para menteri UMNO sendiri,"katanya.
Sebagai rekod, seramai 14 pemimpin UMNO dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet kerajaan PN diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu.
Klik di sini untuk terus membaca