TREND berkongsi keletah anak-anak di laman sosial seolah-olah menjadi kewajipan setiap ibu bapa pada masa kini. Tidak kisahlah video anak sedang makan, bermain atau meragam sekalipun tetap ingin dikongsi.
Bagaimanapun, ibu bapa perlu beringat bahawa tidak semua kelakuan anak boleh ditayangkan di media sosial dan mereka perlu ada 'common sense' untuk memilih kandungan dengan lebih berhati-hati.
Contohnya, baru-baru ini terdapat video yang tular dalam media sosial memaparkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun menghisap rokok elektronik atau vape yang dihulurkan bapanya sendiri tanpa rasa bersalah.
Anak kecil yang berada dalam keadaan tidak berbaju itu dipercayai sedang menonton rancangan kanak-kanak sambil dirakam ibunya.
Video tular itu mencetus kemarahan netizen yang mengecam perbuatan suami isteri berkenaan apabila disifatkan sangat keterlaluan, namun sebaliknya ibu kepada kanak-kanak itu pula ‘menyekolahkan’ netizen dalam satu hantaran di laman Instagram miliknya.
Bagaimanapun, si suami cuba bertindak sebaliknya dengan memohon maaf dalam satu hantaran di Facebook dan menjelaskan bahawa dia hanya bergurau kerana anaknya mempunyai perwatakan yang lasak.
Kita semua terkejut dan sedih melihat anak kecil itu diperlakukan sebegitu rupa. Mana tidaknya, anak seusia itu disuruh menghisap vape dan ditayangkan kepada khalayak.
Kisah keluarga ini sebenarnya adalah sebahagian cerita dan ragam masyarakat kita yang hidup dalam zaman teknologi serta tidak boleh hidup berenggang dengan gajet.
Dengan gajet sentiasa di tangan, kita ghairah mencipta dan berkongsi ‘content’ agar disukai umum serta lebih hebat jika ia menjadi viral.
Dan sudah tentunya kanak-kanak adalah salah satu bahan kandungan yang paling mudah dan comel untuk dikongsikan.
Kejar like
Namun ramai ibu bapa hari ini yang terlupa, dalam keghairahan itu mereka adakalanya mencipta kandungan media sosial yang salah dan berbahaya.
Bayangkan berapa ramai ibu bapa yang alpa berkongsi foto-foto anak tidak berbaju dan hampir berbogel di media sosial.
Bagaimana kesan psikologi ke atas mereka kira-kira 20 tahun lagi, malah anak-anak ini terdedah dengan ‘predator’ pedofilia di luar sana.
Menurut seorang pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad, memang ada individu yang suka berkongsi kehidupan peribadi dengan orang ramai.
Jelas beliau, golongan tersebut berasa puas dan nikmat apabila berkongsi gambar atau video anak-anak mereka untuk tontonan umum bagi menghilangkan tekanan.
Namun, Dr Fauziah menjelaskan, dalam satu aspek yang lain, perbuatan tersebut boleh menjejaskan keselamatan anak-anak daripada individu tidak bertanggungjawab seperti golongan pedofilia yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran pemuas nafsu.
Selain itu, beliau berpendapat, perbuatan merakam sesuatu perlakuan buruk atau negatif seperti menghisap vape pula boleh dianggap sebagai satu bentuk penderaan.
"Apa sebenarnya motif pasangan ini menayangkan situasi yang boleh mendatangkan kemarahan ramai dalam media sosial?
"Mungkin niat mereka untuk bergurau dan merakam detik itu sebagai kenangan waktu kecil si anak. Kalau benar, itu adalah gurauan yang sangat tidak bertempat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, kita harus bersikap matang apabila melibatkan masa depan anak-anak. Jangan hanya inginkan perhatian dan mendapat banyak tanda suka atau like kita sanggup melakukan tindakan tidak wajar.
Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sejak dulu, peribahasa ini sinonim dengan gambaran ibu bapa dalam mendidik dan membentuk peribadi anak-anak kerana mereka adalah orang yang paling rapat dengan anak-anak sejak kecil.
* Nur Iftitah Rozlan ialah wartawan Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca