KELAB Peminat Bola Sepak Kedah (PBK) menyambut baik hasrat pemilik kelab gergasi Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan diri menguruskan skuad Harimau Malaya. Malah Presiden Kelab PBK,... Klik di sini untuk terus membaca

KELAB Peminat Bola Sepak Kedah (PBK) menyambut baik hasrat pemilik kelab gergasi Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan diri menguruskan skuad Harimau Malaya.

Malah Presiden Kelab PBK, Fazli Mansor berkata, kemampuan Tunku Ismail mengendalikan skuad Harimau Selatan telah terbukti dengan pencapaian tidak hanya berjaya mengekalkan kejuaraan domestik tetapi juga kekal kompetitif pada saingan Asia setiap musim.

Namun pada masa sama Fazli, turut menyarankan Tunku Ismail memperkasakan kembali sistem pembangunan akar umbi bola sepak negara yang merupakan entiti penting kepada sistem pembekalan pemain kepada skuad senior negara.

Menurut Fazli, kek bola sepak negara pada masa ini sebenarnya amat besar dengan pelbagai produk di peringkat akar umbi jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu, namun berdepan dengan kekangan kesinambungan untuk memasuki peringkat lebih senior selepas itu.

"Kita sebenarnya tidak perlu bimbang ketandusan bakat muda untuk skuad negara pada masa depan, pada masa ini jika kita perhatikan banyak kelab atau akademi bola sepak tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

"Cumanya pada pandangan saya, kita tersangkut pada bahagian pertengahan apabila kita terlalu suka bereksperimen dengan pemain-pemain muda negara yang kemudiannya hilang begitu sahaja selepas melalui proses pembentukan kematangan.

"Saya ambil contoh mudah, skuad Projek FAM-MSN yang kini beraksi di saingan Liga Premier pada masa ini, yang secara peribadi bukanlah satu pendekatan yang baik dalam mematangkan corak permainan dalam kalangan pemain muda negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Tambah Fazli, sewajarnya skuad Projek FAM-MSN ini dikembangkan pembentukannya dengan mengambil bahagian dalam saingan liga yang setaraf dengan usia mereka.

"Pada saya secara peribadi, sekiranya kita meletakkan kelompok pemain 20 tahun beraksi dalam saingan liga kompetitif yang kebanyakan disertai dalam kalangan pemain berusia 23 tahun ke atas, tidakkah itu akan merencatkan mentaliti pemain-pemain muda ini pada masa depan?

"Pada saya cara yang terbaik untuk mematangkan permainan seseorang pemain itu adalah dengan membiarkan pemain tersebut belajar dengan pemain senior dalam satu pasukan, ini cara paling berkesan untuk mematangkan dan membentuk pemain pada masa depan.

"FAM, sebagai badan induk bola sepak negara, pernah menghantar skuad muda negara beraksi di luar negara mengambil bahagian dalam liga-liga tertentu sebagai pendedahan kepada pemain negara, namun saya hairan mengapa pendekatan ini tidak diteruskan sebaliknya menggunakan pendekatan terkebelakang sedikit dengan memasukkan skuad Projek FAM-MSN ke Liga Premier,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: TMJ tawar diri perkasa Harimau Malaya

Klik di sini untuk terus membaca