KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) digesa untuk lebih berani menganjurkan kejohanan domestik yang mendapat pengiktirafan dalam masa terdekat untuk atlet bawah naungan badan induk berkenaan.
Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad berkata, kekurangan pertandingan dalam negara tidak hanya menjejaskan prestasi atlet negara, namun juga menyebabkan motivasi dalam kalangan mereka merudum.
Malah menurut Nazmizan lagi, kebanyakan dalam kalangan atlet telah pun menjalani pelbagai latihan sejak awal tahun lagi, mengharapkan lebih banyak pertandingan bagi menilai potensi diri masing-masing.
"Satu negara sedang bergelut memutuskan rantaian Covid-19, tapi bukan kita sahaja sebaliknya satu dunia sedang memerangi Covid-19. Tapi sampai bila kita hendak peram atlet kita yang sudah tidak sabar kembali bersaing balapan.
"Sebelum ini kita ada buat kejohanan simulasi, tapi berhenti setakat itu sahaja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, selepas itu tiada perancangan untuk kejohanan lain selepas Terbuka Malaysia ditangguhkan susulan peningkatan kes Covid-19.
"KOM perlu menetapkan satu tarikh untuk penganjuran kejohanan sebaik-baiknya apabila peningkatan kes Covid-19 mula menurun dalam negara, supaya atlet akan lebih bersedia untuk mengambil bahagian,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu, yang turut memuji usaha KOM menghantar atlet negara menyertai kejohanan di Kazakhstan.
Kejohanan domestik terakhir dianjurkan KOM pada tahun ini adalah Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada April lalu, yakni yang pertama selepas Karnival Majlis Sukan Negara (MSN), Disember tahun lalu.
Tegas Nazmizan lagi, KOM boleh mengambil rujukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pengendali saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang menggunapakai gelembung sukan.
Terbaharu jelas Nazmizan, badan induk olahraga negara itu juga boleh mendapatkan pandangan Persekutuan Renang Malaysia (MS) yang berjaya menganjurkan Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-63 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.
"Saya cadangkan KOM cuba dapatkan pandangan pihak berkenaan dalam masa terdekat ini bagaimana untuk anjurkan kejohanan dalam negara yang pada masa sama atlet mendapat pengiktirafan untuk kutipan mata.
"Saya percaya dalam kalangan atlet kebangsaan dan pelapis tidak berdepan masalah untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan. Tambahan pula dalam kalangan atlet sudah pun ada yang mengambil dua suntikan dos vaksinasi
"KOM boleh mengusulkan cadangan prosedur operasi standard kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk penilaian dua pihak berkenaan,” katanya.
Pada masa sama Nazmizan turut mencadangkan penganjuran kejohanan dilakukan secara berpusat, namun dengan syarat KOM memaklumkan terlebih awal kepada atlet mengenai kejohanan.
"Saya percaya kejohanan boleh dianjurkan sebanyak dua kali dalam sebulan, yakni pertengahan dan hujung bulan. Paling penting, KOM perlu memastikan kejohanan dianjurkan tersebut mendapat pengiktirafan dari segi kutipan mata kepada atlet,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca