SIRI pertemuan beberapa pemimpin utama negara bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dua minggu lalu membawa kepada satu persoalan paling signifikan berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).... Klik di sini untuk terus membaca

SIRI pertemuan beberapa pemimpin utama negara bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dua minggu lalu membawa kepada satu persoalan paling signifikan berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam suasana pandemik dahsyat sedang melanda, gejolak politik negara juga berada pada suhu yang sukar untuk difahami.

Bilakah waktu paling tepat pesta demokrasi itu boleh diadakan untuk pulih ketidakstabilan politik yang semakin membarah kini.

Pilihan raya umum berikutnya mesti diadakan pada atau sebelum 16 September 2023.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas genap 5 tahun dari sesi pertama Parlimen ke-14, iaitu 17 Julai 2018. Jika dihitung secara kasar, tempoh itu lebih kurang satu setengah tahun sahaja dari sekarang. Tak lama!

Ketika negara masih berada di fasa 'total lockdown', tempoh yang dianggap paling sukar selepas lebih setahun perang dengan Covid-19, pastinya, menentukan bila perang PRU15 sesuatu yang cukup sukar untuk dilaksanakan.

Bercakap tentang PRU15, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadap Al-Sultan Abdullah pada 10 Jun berkata, antara yang dibincangkan termasuk bilakah tarikh sesuai untuk melaksanakan PRU.

"Baginda ada bertanya sama ada pilihan raya boleh diadakan tahun depan atau bila-bila masa. Saya berkata ia berbahaya untuk diadakan sekarang," katanya.

Jelas Dr Mahathir lagi, negara perlu capai imuniti kelompok dalam pemberian vaksin Covid-19 sebelum PRU15 boleh diadakan.

"Apabila kita mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus rakyat diberi vaksin, maka agak selamat untuk mengadakan pilihan raya," katanya yang juga pengerusi penaja parti Pejuang itu.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian minggu lalu, Dr Mahathir turut menegaskan, jika PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat, "hasilnya kurang baik".

"Dalam keadaan politik negara sekarang, berpecah belah, parti-parti semua dah hancur dan ada aktiviti beli sokongan, rasuah dan sebagainya. Kalau kita adakan PRU, hasilnya saya fikir kurang baik. Sebab itu kita perlu tunggu, bagi masa kepada diri kita," katanya.

Saya setuju dengan Dr Mahathir bahawa 'penyakit' politik kita sama teruk dengan Covid-19.

Covid-19 memanglah tidak nampak sebab virus, tahu-tahu sahaja orang dijangkiti jatuh sakit. Perihal orang politik ni pun tak kurang 'mistik' juga.

Tiba-tiba keluar parti dan umum sokong parti B, C atau D. Dalam keadaan sekarang, nilai satu kerusi cukup mahal. Satu pergi, boleh tempang jadinya!

Persoalannya, mana lebih mudah, urus Covid-19 atau orang politik?

Suhu politik negara diharap kembali 'sejuk' selepas perbincangan khas Majlis Raja-raja yang berlangsung di Istana Negara pada Rabu bersetuju tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah darurat selepas 1 Ogos.

Malah Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Demokrasi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Keputusan Majlis Raja-Raja disambut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dengan gesaan supaya kerajaan PN berhenti ketepi sistem demokrasi negara dan ambil serius pandangan Al-Sultan Abdullah yang mahu Parlimen kembali bersidang secepat mungkin.

Ia turut dizahirkan dengan amaran, Muhyiddin perlu turun daripada jawatannya jika terus berdalih dalam hal ini.

"Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir," menurut kenyataan itu.

Ironinya, ketika herd immunity masih samar boleh dicapai akhir Disember ini, di sebalik kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kekangan-kekangan lain termasuk pematuhan tahap tertinggi rakyat terhadap SOP, suasana politik yang huru-hara, wajarkah gendang PRU15 dipalu kencang ketika ini?

*Salmiah Dhuhamad Drasin ialah Ketua Unit Sosial Media Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca