"TEMPOH enam bulan sudah cukup mempersiapkan skuad sepak takraw negara yang solid untuk mengalahkan Thailand."
Itu nada positif tokoh sepak takraw negara yang juga antara pengasas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Yusoff Latiff yang menggesa perancangan bersepadu perlu digerakkan PSM dalam usaha memartabatkan semula sukan warisan negara itu.
Malah, Yusoff berkata, tempoh itu disifatkan realistik kerana negara memiliki kelompok pemain sepak takraw yang ramai apatah lagi dengan bakat baharu menerusi penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) sejak beberapa tahun lalu.
"Secara peribadi kita tidak berdepan masalah mencari pemain berbakat, namun PSM perlulah serius dan proaktif dalam usaha mengerakkan agenda ini.
"Apa yang perlu sekarang adalah memperkemaskan semula urustadbir sistem pengurusan dan latihan sepak takraw negara.
"Paling penting juga meletakkan disiplin sebagai elemen paling utama dalam pembentukan skuad sepak takraw negara yang solid," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sukan Sinar pada Isnin melaporkan saranan mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menerusi pelan jangka pendek dan panjang dalam usaha mengembalikan semula era kegemilangan sepak takraw negara.
Antara saranan Zolkples, keutamaan pada masa ini adalah penyediaan skuad takraw yang solid untuk mengalahkan Thailand, secara tidak langsung mengembalikan kepercayaan komuniti takraw negara terhadap kepimpinan baharu PSM.
Mengulas lebih lanjut dengan mengambil contoh Thailand yang pernah berguru dengan Malaysia pada suatu masa dulu, Yusoff berkata, negara Gajah Perang tersebut menekan aspek disiplin sebagai asas utama dalam pembentukan dan pembangunan sukan tersebut.
"Thailand dulu pun datang ke Malaysia belajar cara nak main takraw, kemudian apabila mereka balik, mereka mula bentuk dan bangunkan regu mereka dengan penambahan elemen disiplin.
"Disiplin inilah yang menjadi kekuatan asas untuk mereka kekal mendominasi sukan ini sehingga sekarang, apatah lagi mereka tidak ketandusan pemain-pemain yang silih berganti.
"Disiplin mereka bukan biasa-biasa, sebaliknya disiplin ala tentera yang menekankan kepada pembentukan sahsiah peribadi pemain yang mempunyai maruah dan jiwa terhadap sukan sepak takraw," katanya.
Mengenai cadangan penglibatan bekas pemain kebangsaan menerusi penubuhan jawatankuasa khas dalam PSM, Yusoff menyambut baik cadangan tersebut, namun menegaskan individu terpilih perlu juga mempunyai tahap disiplin tinggi.
"Saya tidak nafikan negara memiliki ramai bekas pemain-pemain yang teruja membantu mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw negara.
"Namun sekali lagi elemen disiplin perlu dijadikan penanda aras tertinggi kerana perlu diingat bekas pemain negara ini selain menjadi think tank dalam PSM, mereka juga akan lebih dekat dengan pembangunan di peringkat akar umbi.
"Jadi tentunya kita tidak mahu masalah disiplin lalu akan mempengaruhi bakat muda atau pelapis yang kemudian akan memberi igauan ngeri kepada PSM pada masa depan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca