"TIADA keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021 dan Parlimen perlu segera bersidang.” Ia adalah kenyataan tegas dan jelas oleh Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong seperti dalam kenyataan media... Klik di sini untuk terus membaca

"TIADA keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021 dan Parlimen perlu segera bersidang.”

Ia adalah kenyataan tegas dan jelas oleh Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong seperti dalam kenyataan media pada 16 Jun lalu.

Kenyataan bersama oleh Raja-Raja Melayu bukan perkara baharu. Ketika ketegangan sosial pada 2008, 2010 dan 2017, baginda sekalian telah menyeru rakyat jelata untuk menjunjung kesatuan nasional, Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 2015, Raja-Raja Melayu telah melaksanakan tindakan yang amat jarang dilakukan iaitu memberikan ulasan tentang satu entiti khusus, 1MDB dengan bertitah: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan meyakinkan akan mengakibatkan krisis keyakinan”, selain menyeru kepada satu penyiasatan menyeluruh yang akan didedahkan kepada umum.

Malangnya, kenyataan bersejarah itu telah dilupakan banyak pihak yang mengkritik monarki secara membuta tuli dengan mengatakan bahawa pihak istana mengambil pendekatan berdiam diri berkenaan 1MDB. Hakikatnya, pihak media pada masa itu yang kurang melaporkannya.

Hari ini, atas jasa dan desakan masyarakat sivil serta penggunaan media sosial yang meluas, rakyat Malaysia kini tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menolak cadangan darurat oleh kerajaan pada Oktober 2020.

Walaupun cadangan darurat kali kedua oleh Perdana Menteri pada Januari 2021 dipersetujui, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa ia akan berakhir.

Peguam perlembagaan yang mempunyai pandangan berbeza sudah tentu akan bekerja keras menegakkan hujah mereka. Ketika Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat pertama, beberapa peguam mengatakan bahawa penolakan itu sebagai ‘tidak berperlembagaan’.

Saya telah memuat naik hantaran di akaun Instagram saya tentang Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, memberi penekanan kepada bahagian ‘jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati’.

Saya ingin menunjukkan kepada mereka sebuah penulisan yang sangat baik (King’s Power and the Constitution, 17 Jun 2021) oleh Profesor Datuk Shad Saleem Faruqi. Beliau menyenaraikan empat alasan darurat adalah atas kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Pertama, pindaan tahun 1983 untuk menggantikan ‘Yang di-Pertuan Agong berpuas hati’ dengan ‘Perdana Menteri berpuas hati’ dimansuhkan pada 1984. Kedua, penolakan cadangan darurat pada Oktober 2020 tidak dicabar di mahkamah, lalu menetapkan duluan ‘pihak istana sebagai satu semak dan imbang’.

Ketiga, penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 oleh Ordinan Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan darurat menimbulkan persoalan ‘mengapa perlukan jawatankuasa ini jika Yang di-Pertuan Agong terikat kepada nasihat kabinet?’, persoalan yang turut sama ditimbulkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman dan keempat, nasihat daripada Perdana Menteri hanya sah jika Perdana Menteri mempunyai keabsahan demokrasi di Parlimen.

Perbualan yang sedang berlaku antara ahli Parlimen ketika ini tanpa ragu masih mengandungi unsur tawar-menawar yang menjengkelkan rakyat Malaysia tetapi mungkin titah baharu ini yang menzahirkan kehendak rakyat akan membuka jalan ke arah susunan yang berwawasan dan berkesan, sama ada dalam bentuk kerajaan perpaduan atau persetujuan keyakinan serta pembekalan berserta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersidang.

Walaupun ada yang mengatakan bahawa tindakan yang diambil baru-baru ini adalah sesuatu yang ‘memalukan’ apabila Istana menjadi pihak yang mengembalikan Demokrasi Berparlimen, saya berasakan kita perlu berbangga dengannya.

Bahkan, beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) telah memulakan persiapan untuk bersidang setelah kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tersebut dikeluarkan.

Perlembagaan kita masih berfungsi. Rakyat akan menghakimi pihak yang melanggar wa’adat.

Artikel ini terbit buat pertama kali di dalam akhbar The Star.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)

Klik di sini untuk terus membaca