SHAH ALAM - Kebanyakan peniaga sektor peruncitan kini dilihat sudah seperti nyawa-nyawa ikan kerana institusi perbankan enggan memberikan moratorium secara automatik.
Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, walaupun pihak bank mahu memberikan moratorium tersebut, namun syarat dikenakan kepada peniaga adalah rumit dan membebankan.
"Ramai peniaga kita tanya, tapi semua tak dapat. Ini kerana terlalu banyak kerenah birokrasi yang terpaksa mereka lalui.
"Sebagai contoh mereka perlu mengemukakan penyata akaun, malah perlu membuat unjuran perniagaan. Ini belum lagi peniaga ditekan dengan pertambahan kadar faedah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sehubungan itu, Ameer mencadangkan agar kerajaan memberikan tekanan kepada pihak bank supaya segera melaksanakan moratorium secara automatik untuk dinikmati semua peniaga.
"Tak perlu pilih kasih, sejujurnya mana ada perniagaan sekarang ini tak terkesan.
"Semua terkesan lebih-lebih lagi sektor peruncitan. Sebab itu kita mencadangkan supaya kerajaan beri moratorium secara automatik sehingga akhir Disember ini.
"Sekurang-kurangnya peniaga dapat bernafas. Kalau tak beri moratorium, kita hampir mati,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) berkata, hampir 20 peratus pekerja sektor peruncitan juga terpaksa diberhentikan akibat pemilik atau syarikat tidak lagi mampu menggajikan mereka.
Menurutnya, sekiranya kerajaan melanjutkan lagi tempoh PKP, sektor berkenaan bakal kehilangan 20 peratus lagi pekerja.
"Anggaran kita lebih kurang 500,000 pekerja akan kehilangan kerja. Ini jika kerajaan mahu benarkan kami beroperasi sepenuhnya pada bulan Oktober atau September ini.
"Sebab itu kita betul-betul tidak larat. Kerajaan tak beri apa-apa bantuan. Ada pun tidak mencukupi untuk peniaga.
"Banyak bantuan diberikan kepada B40 dan peniaga-peniaga mikro,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca