SHAH ALAM - Ramai ibu bapa dan pelajar mengeluh apabila mereka mendakwa sukar mendapatkan keperluan alat tulis serta buku untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bukan sahaja alat tulis, malah dakwat mesin pencetak dan pelbagai bahan penting untuk tujuan pembelajaran juga sukar diperoleh.Lebih menyukarkan ialah membuat salinan pendua dengan menggunakan mesin fotostat yang pada kebiasaannya disediakan di kedai buku dan alat tulis.
Bagi seorang bapa, Muhammad Shahril Che Roos, 32, ketiadaan kelengkapan persekolahan mencukupi menyebabkan tugasan yang diberikan pihak sekolah tidak dapat disiapkan dengan sempurna.
"Terus terang saya cakap memang cukup tertekan dengan situasi begini. Tapi mahu tidak mahu saya terpaksa lalui kesukaran ini. Saya pernah dapatkan alat tulis di kedai runcit atau serbaneka tetapi tidak banyak alatan yang dijual.
"Kalau beli dalam talian pula, masalahnya lambat sampai. Ada yang ambil masa seminggu sedangkan keperluan alat tulis mahu digunakan segera,” katanya ketika ditemui di sekitar bandar raya Kuantan pada Selasa.
Seorang arkitek, Dania Suri Abd Wahab, 35, berkata, kerajaan perlu mempertimbang pembukaan sektor itu sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu.
Katanya, ini bagi membolehkan ibu bapa, pelajar dan guru mendapat alatan tulis serta bantuan mengajar sekali gus dapat memudahkan proses pembelajaran di rumah.
"Kita tahu semua orang berdepan dengan masalah kekurangan alat tulis, jadi minta kerajaan segera menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.
Seorang ibu kepada tiga anak, Rosmawati Abdul Aziz, 46, turut berdepan kemelut dalam menyediakan keperluan peralatan untuk anaknya, Amir Ridwan, 20, Aisy Iskandar, 18, dan Ain Insyirah, 12, dalam sesi pembelajaran masing-masing.
"Mana-mana alat tulis yang tidak dapat dibeli di kedai, saya beli secara dalam talian sebab bahagian alat tulis di pasar raya ditutup.
"Baru-baru ini, komputer riba milik anak rosak, tetapi kedai pula tutup. Mahu hantar ke tempat lain, tak dibenar rentas daerah pula,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha tersepit
Sementara itu, seorang pelajar Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Irfan Waqiuddin Hasanudin berkata, PKP telah menyebabkan kerja penulisan ilmiahnya tertangguh kerana kekangan mendapatkan bahan bacaan.
Irfan yang merupakan pelajar tahun akhir berkata, bahan rujukan seperti buku amat diperlukan bagi memastikan penulisan ilmiah yang ditulisnya mempunyai kualiti dan sumber yang benar.
"Sejujurnya saya sangat terkesan sehinggakan kerja-kerja penulisan ilmiah saya tertangguh disebabkan kekangan mendapatkan bahan bacaan di perpustakaan ataupun di kedai buku.
"Selaku pelajar sastera, saya sangat memerlukan buku sebagai rujukan utama untuk memulakan penulisan ilmiah yang wajib disiapkan sebelum tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.
Pelajar jurusan Sejarah UKM, Nur Izzati Zaidi pula berkata, kedai buku mahupun pusat rujukan akademik seperti perpustakaan perlu dibuka bagi memudahkan pelajar universiti mengakses berkaitan pengajian mereka.
Jelasnya, buku dan jurnal yang diperoleh secara dalam talian tidak dapat diperoleh sepenuhnya sekali gus menyukarkan pelajar menyiapkan tugasan yang diberikan.
"Buku fizikal senang nak dapat maklumat berbanding dalam talian. Kalau dalam talian dapat separuh sahaja.
"Masalah saya sekarang, bahan nak buat tesis tidak boleh dapat, sebab kami perlukan dokumen buku yang ada di arkib atau di bahagian Asia Tenggara. Kami terpaksa buat apa yang dapat sahaja,” ujarnya.
Menurut pelajar Perubatan, Management and Science University (MSU), Ahmad Faris Abd Rashid, PKP menyebabkan dia sukar membeli buku rujukan kerana ia hanya terdapat di kedai buku Kuala Lumpur.
Faris yang menetap di Melaka berkata, perkara itu menyebabkan dia susah untuk membuat tugasan seperti pembentangan tanpa rujukan buku itu.
"Pensyarah saya kalau nak beri tugasan, memang mereka suruh rujuk buku teks yang khas dan bukan daripada dalam talian. Ia sukar bagi saya sebab saya berada di Melaka.
"Jadi, saya terpaksa meminta bantuan daripada rakan yang sempat beli buku tersebut,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca