DIA memintas saya yang sedang beriadah pada suatu petang di kawasan kejiranan di mana saya tinggal. Setelah berjalan beberapa langkah di hadapan saya, dia berhenti untuk menegur saya.
Sapanya: "Nama saya Sham. Tuan?” Saya memberitahu nama saya.
Setelah dia memperkenalkan diri dan saya pula mengangguk sebagai menjawab pertanyaan selanjutnya yang bertanyakan sama ada saya tinggal di kawasan kejiranan yang sama dengannya, kami meneruskan riadah kami secara beriringan petang 18 Jun 2021 itu.
Dia mengikut rentak saya berjalan santai mengelilingi taman perumahan di mana kami tinggal.
Menurut beliau, jarak bagi satu pusingan mengelilingi kawasan kejiranan itu adalah kira-kira 3.5 kilometer.
Banyak topik yang kami bualkan sambil beriadah itu – tentang keluarga, tentang kawasan kejiranan dan juga topik-topik hangat politik dan bukan politik yang heboh diperkatakan sekarang.
"Ada dua selebriti terkenal tinggal dalam kejiranan kita ini,” kata Sham.
Saya sendiri lebih suka mendengar kepetahannya berbicara.
Saya ingin tahu bagaimana seorang rakyat biasa yang tidak pernah saya kenali mengungkap pandangannya mengenai isu-isu semasa. Saya mengesan politik bukanlah minat utamanya.
Tetapi apabila saya memberitahu yang saya telah disuntik vaksin AstraZeneca Covid-19 pada 19 Mei lalu, perbualan kami tiba-tiba menjadi rancak.
Tanpa diminta, beliau memuji usaha vaksinasi besar-besaran kerajaan sejak waktu kebelakangan ini dan menyatakan kekaguman dengan perkembangan mutakhir angka-angka rakyat Malaysia yang telah disuntik sehingga petang semalam.
"Peningkatan yang luar biasa,” ujarnya. Kemudian menambah: "Mengikut berita TV yang saya tonton tadi, 5.3 juta orang telah disuntik satu dos vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya manakala 14.6 juta telah mendaftar untuk menerima suntikan.”
Beliau memberitahu: "Angka-angka ini lebih menerujakan saya untuk mengetahuinya berbanding angka harian jangkitan baharu.
"Bayangkan kalau dalam tempoh 10 hari yang berbaki sepanjang bulan Jun ini, lebih 200,000 menerima suntikan sehari, maka dua juta orang lagi rakyat menerima vaksinasi masing-masing, menjadikan jumlahnya kepada 7.3 juta orang.”
Angka
Bagi beliau, gerakan besar-besaran untuk memberi vaksinasi kepada rakyat, tidak kira di PPV Mega atau PPV bergerak tanpa sebarang kerenah birokrasi seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Penyelaras Vaksin Covid-19, Khairy Jamaluddin adalah perkara penting yang dilakukan kerajaan berbanding soal-soal lain pada waktu ini.
Tanpa berselindung Sham berkata setiap rakyat, para pemimpin politik khususnya berkewajiban menyokong apa-apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan itu untuk membawa Malaysia keluar daripada pandemik yang telah melanda negara sejak Mac 2020 lalu.
Menurutnya, jika proses vaksinasi kekal momentumnya, Malaysia sebenarnya berada pada landasan yang betul untuk mencapai matlamat mewujudkan imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.
"Ini yang kita semua mahu. Bayangkan kalau imuniti kelompok itu tercapai, ekonomi kita akan dibuka sepenuhnya; rakyat kembali hidup normal menguruskan kehidupan masing-masing dan Dewan Rakyat pula boleh bersidang sepanjang hari dan malam kalau mahu.
"Dan kita boleh mengadakan PRU,” dia meneruskan perbualan.
Tetapi Sham mengakui apa yang dirancang itu juga bergantung kepada bekalan vaksin yang bakal kita terima pada Julai dan bulan-bulan akan datang.
Sebelum kami berpisah, beliau memberitahu bahawa pengajaran besar wabak Covid-19 sebenarnya adalah untuk Malaysia bukan sekadar menjadi negara pengguna, tetapi negara pencipta.
Katanya: "Ini termasuk untuk menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri, sama seperti negara China yang telah menyuntik lebih 900 juta rakyatnya dengan vaksin ciptaan sendiri.
"Bayangkan kalau negara itu bergantung kepada vaksin Covid-19 ciptaan negara-negara Barat, entah apa akan jadi dengan jangkitan wabak itu dalam kalangan rakyatnya.”
Saya tidak berkata apa-apa kecuali mengangguk tanda setuju.
Ya selepas kita keluar daripada pandemik Covid-19 ini, Malaysia mesti mula mempersiapkan dirinya menjadi negara pencipta, bukan pengguna dalam pelbagai bidang - sains, teknologi dan perubatan.
Ekosistem yang sesuai hendak diwujudkan untuk mencapai matlamat tersebut segera. Tidak lagi boleh berlengah atau bertangguh.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)
Klik di sini untuk terus membaca