KLANG – Geng Jimmy yang aktif terbabit dalam penyeludupan rokok dikenal pasti sebagai salah satu kumpulan besar dan berpengaruh dalam kegiatan itu di beberapa negeri. Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim... Klik di sini untuk terus membaca

KLANG – Geng Jimmy yang aktif terbabit dalam penyeludupan rokok dikenal pasti sebagai salah satu kumpulan besar dan berpengaruh dalam kegiatan itu di beberapa negeri.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, pemantauan dan risikan ke atas kumpulan ini telah lama dibuat pihaknya dalam usaha menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok.

Menurutnya, modus operandi geng ini serupa dengan kumpulan penyeludup rokok lain yang pernah ditumpaskan Maritim Selangor sebelum ini.

"Mereka menggunakan bot barter trade dan bot pancung untuk membawa masuk rokok dari Indonesia dan Vietnam melalui jalan laut.

"Bot barter trade digunakan untuk membawa masuk rokok putih dari Vietnam. Bot ini akan mengambil rokok dari bot besar yang berhenti di sempadan laut negara manakala bagi bot pancung pula membawa muatan rokok kretek dari Indonesia.

"Bot pancung berkelajuan tinggi ini dikesan bergerak dari Indonesia terus masuk ke persisiran negara. Namun, kita juga percaya sindiket ini turut menggunakan bot nelayan bagi membawa masuk rokok," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan pengedaran rokok seludup ini aktif di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Dedahnya, geng ini juga antara kumpulan besar yang bersaing dalam kegiatan terbabit selain Geng Dato’ Ben yang pernah ditumpaskan sebelum ini.

"Sejak tahun 2017 hingga 2019, ada tiga bot barter trade dan beberapa bot pancung telah berjaya ditahan membawa pelbagai jenis rokok seludup bernilai lebih RM30 juta.

"Seramai 12 orang suspek terdiri daripada tekong dan transporter berjaya diberkas," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau percaya Geng Jimmy ini masih aktif biarpun kegiatan mereka sedikit terjejas akibat faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain penguatkuasaan semua agensi penguat kuasa.

Sinar Harian secara eksklusif pada Rabu mendedahkan mengenai kegiatan Geng Jimmy yang digelar 'Raja Penyeludup'.

Mereka mendominasi penyeludupan rokok di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Geng Jimmy dipercayai terlibat aktif menyeludup rokok sejak tahun 2016 hingga kini.

Difahamkan setiap tekong bot akan dibayar bermula dari harga RM5,000 hingga RM10,000. Jumlah itu boleh bertambah bergantung kepada jumlah trip dan rokok yang dapat diseludup masuk.

Sindiket penyeludup rokok itu juga bijak merancang dan tahu selok-belok perairan negara malah cepat menghidu kehadiran pihak berkuasa sama ada melalui rondaan rutin mahu mahupun operasi.

MOHD ROSLI

Selindung sebalik perniagaan sah

Kegiatan Geng Jimmy dipercayai diketuai oleh Datuk Jimmy yang dikesan aktif dalam kegiatan pengedaran rokok seludup cuba berselindung di sebalik perniagaan sah bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Menurut sumber, terdapat dua syarikat terletak di sekitar Lembah Klang dikesan dipercayai dimiliki sindiket terbabit.

"Dalang yang dikatakan bergelar Datuk ini juga dipercayai terbabit dalam kegiatan haram penyeludupan minuman keras tidak bercukai.

"Sama ada gelaran Datuk itu sah atau sebaliknya belum dapat dipastikan," kata sumber berkenaan kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, kata sumber itu jumlah tepat ahli sindiket ini belum diketahui.

"Namun kita percaya bilangan mereka ramai kerana pasaran barang seludup mereka meluas ke beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Johor," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca