LONDON terlibat dalam satu perbalahan baharu dengan Moscow pada Rabu lalu apabila empat butir bom dan tembakan amaran dilepaskan berdekatan dengan kapal pemusnah Tentera Laut Diraja British, HMS Defender yang bernilai £1 bilion (RM5.82 bilion) di Laut Hitam.
Rusia dilaporkan menyatakan sebuah kapal peronda pantainya melepaskan tembakan amaran supaya HMS Defender itu berpatah balik selepas mendakwa ia memasuki perairan wilayahnya di laut tersebut.
Dalam dakwaan itu, Moscow menyatakan kapal permusnah Tentera Laut Diraja British tersebut berada tiga kilometer dalam perairan wilayah Rusia di Crimea sebelum waktu tengah hari waktu tempatan.
Selepas kapal peronda pantai itu melepaskan tembakan, salah sebuah jet pejuang Rusia menggugurkan empat buat bom berhampiran kapal pemusnah Britain tersebut bagi memaksa ia untuk meninggalkan perairannya berkenaan.
Seorang koresponden berita pertahanan untuk portal BBC, Jonathan Beale berada di atas HMS Defender semasa kejadian dan beliau dilaporkan menyatakan mendengar bunyi tembakan tetapi pegawai-pegawai kapal Tentera Laut Diraja Britain percaya HMS Defender berada di luar perairan Rusia.
Koresponden BBC itu turut menyatakan bahawa dua kapal pengawal pantai Rusia belayar di belakang kapal pemusnah tentera laut British tersebut dan ada ketikanya berada hanya sejauh 100 meter manakala 20 pesawat tentera Rusia terbang di atas HMS Defender.
Menurut poral berita The Sun, media Rusia melaporkan insiden itu dengan cara yang lebih dramatik apabila menyatakan pesawat SU-24M menggugurkan empat butir bom di laluan kapal perang Britain itu.
Duta Rusia ke United Kingdom (UK), Andrei Kelin turut mengulas tentang insiden tersebut dengan menyatakan dalam wawancara dengan stesen Channel 4 News bahawa sekurang-kurangnya amaran telah dikeluarkan selang 10 minit dalam insiden berkenaan.
Beliau tidak menafikan bahawa HMS Defender telah memasuki kira-kira tiga kilometer ke dalam perairan Rusia dan berkata dengan tegas bahawa negaranya mempunyai hak untuk mempertahankan wilayahnya.
Bagaimanapun, insiden itu dinafikan berlaku ke atas HMS Defender apabila Kementerian Pertahanan UK menyatakan dalam satu kenyataan bahawa tiada tembakan amaran yang dilepaskan oleh pihak Rusia.
London percaya Rusia sedang melakukan latihan senjata menyebabkan ia melakukan tembakan amaran bagi memberitahu aktivitinya itu.
Setiausaha Pertahanan UK, Ben Wallace berkata, kapal perang tersebut melakukan pelayaran dari Pelabuhan Odesa di selatan Ukraine untuk menuju ke Georgia dengan menggunakan laluan laut yang diiktiraf oleh pihak antarabangsa.
Selepas Moscow mendedahkan ia telah melepaskan tembakan amaran dekat HMS Destroyer, agensi berita Interfax melaporkan Kementerian Pertahanan Rusia memanggil Atase Tentera UK di negara tersebut.
Kementerian Pertahanan Rusia itu kemudian mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan berbahaya HMS Defender dengan menganggapnya melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak London melaksanakan satu siasatan berhubung insiden tersebut.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika Ukraine yang terletak di utara Crimea dilaporkan mahu menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang sekali gus memberi tamparan hebat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Sebelum ini, hubungan Ukraine dengan Rusia tidak mesra ekoran tindakan Moscow yang menjajah Crimea pada tahun 2014 yang sebelum ini merupakan milik Ukraine.
Hubungan antara UK dengan Rusia juga kini berada pada tahap rendah sejak tahun 2018 apabila Moscow dituduh menghantar dua pegawai perisikan ke Salisbury, England untuk meracun seorang bekas perisik dengan agen saraf Novichok.
Bagaimanapun, tuduhan itu kemudian dinafikan oleh Rusia.
Pada Oktober lalu, sebuah lagi kapal perang British, HMS Dragon dilaporkan turut diusir dari perairan Crimea yang dijajah Rusia.
Ketika itu, Moscow mendakwa kapal pemusnah Britain itu mengabaikan amaran supaya jangan memasuki kawasan perairan Rusia dan kemudian mendakwa ia telah dikejar oleh jet pejuang dan kapal perang Rusia.
Namun, Britain menafikan dakwaan Rusia itu sama sekali. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca