MERAK Jalanan percaya ramai individu terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk dibuang kerja atau diberi cuti tanpa gaji dan antara cara untuk mereka terus bernafas adalah dengan berniaga.
Namun, adat berniaga pastinya akan ada persaingan termasuklah gerai-gerai tepi jalan.
Jadi, sebagai seorang peniaga, hal tersebut harus diterima dengan hati terbuka kerana ia melibatkan periuk nasi sendiri dan juga orang lain.
Perasaan kurang senang harus ditolak tepi kerana Merak Jalanan percaya rezeki tidak pernah salah alamat.
Namun, baru-baru ini tular pula rakaman video peniaga keropok lekor menterbalikkan meja milik peniaga laksa bersebelahan gerainya.
Insiden itu dikatakan berlaku di Taman Koperasi LLN, Kajang di Selangor.
Rakaman video itu sekali gus menimbulkan kemarahan netizen kerana peniaga keropok lekor itu dianggap keterlaluan dan dituduh cuba menyekat rezeki peniaga lain.
Lebih menyedihkan, dalam video itu turut memaparkan situasi peniaga yang menjadi mangsa mengutip bahan-bahan jualan yang berselerak di tapak gerai.
Pelbagai maklum balas diperoleh daripada perkongsian video tersebut. Rata-rata meninggalkan komen dengan meminta para peniaga bersabar dan tidak iri hati kerana masing-masing mempunyai rezeki dalam berniaga.
Merak Jalanan faham sentimen yang cuba disampaikan netizen kerana kedua-dua peniaga itu tidak berniaga jenis makanan yang sama.
Difahamkan, peniaga keropok lekor itu telah memohon maaf dengan ahli keluarga peniaga laksa terbabit.
Malah, laporan polis peniaga laksa terhadap peniaga keropok lekor itu juga sudah ditarik balik.
Apa pun, dalam perniagaan jangan jadikan pesaing sebagai musuh, sebaliknya berbaiklah kerana ia menguatkan semangat persaingan yang sihat dan positif.
Klik di sini untuk terus membaca