TELUK INTAN - Situasi pandemik yang belum menampakkan sebarang tanda pemulihan terus menyeksa industri perhotelan khususnya di kawasan bandar kecil seperti di Teluk Intan.
Antara hotel yang terpaksa menutup sementara operasi mereka ialah Anson Hotel yang terletak di Jalan Sekolah, Bandar Teluk Intan, di sini, setelah beroperasi lebih 30 tahun.
Menurut Eksekutif Pentadbiran Anson Hotel, Ong Wee Chin, sejak Mac tahun lalu, hotel tersebut tidak lagi beroperasi sehingga kini kerana sektor pelancongan tidak dibenarkan berjalan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, sebahagian pekerja hotel telah berhenti manakala beberapa lagi menukar kerjaya sementara sebagai pekerja ladang bagi memastikan mereka dapat menyara keluarga masing-masing.
"Kami di sektor perhotelan ini memang berdepan kesukaran yang besar akibat sektor pelancongan tidak boleh beroperasi. Sejauhmana industri ini boleh pulih dan tempoh masa untuk kembali seperti biasa itu tidak dapat dipastikan.
"Bantuan yang diperlukan ketika ini adalah kewangan kerana kerja-kerja penyelenggaraan lif, bilik dan sebagainya masih perlu dibuat walaupun kita tak boleh beroperasi,” katanya.
Menurutnya, bandar kecil seperti Teluk Intan tidak mempunyai pelancong yang ramai seperti bandar-bandar besar lain.
Jelas Wee Chin, kebanyakan pelancong datang dari luar Perak dan paling ramai ketika musim perayaan malah pada hujung minggu tidak begitu ramai.
Sementara itu, beliau mengharapkan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya merangka strategi terbaik untuk merancakkan semula industri pelancongan pasca pandemik sekali gus menyelamatkan pemain industri seperti sektor perhotelan.
Katanya, paling penting pihak kementerian perlu membantu mempercepatkan penerimaan vaksin dalam kalangan pekerja industri pelancongan supaya sektor itu boleh segera beroperasi.
'Jangan biarkan kami terkontang-kanting menunggu mati'
Sementara itu, kerajaan dirayu untuk membenarkan industri perhotelan kembali beroperasi untuk tujuan pelancongan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K Raj Kumar berkata, industri hotel di negeri ini bukan lagi tenat selepas sekian lama direhatkan, bahkan menunggu masa untuk berkubur sekiranya tiada langkah pemulihan segera dilaksanakan.
Menurutnya, dengan membiarkan pusat peranginan dan hotel terus sunyi tanpa kehadiran pelanggan malah lebih malang lagi tiada sebarang rancangan pemulihan dibuat akan menyebabkan puluhan ribu pekerja dalam sektor ini terus hidup dalam kebingungan.
ARTIKEL BERKAITAN: 120 hotel sudah ‘check out’
Antara 120 hotel yang terpaksa ucap 'selamat tinggal'
"Sampai bila lagi nak biarkan kami terus begini tanpa sebarang pembelaan sewajarnya. Kami faham akan risiko yang mungkin dihadapi berikutan pandemik ini dan sekiranya kerajaan membenarkan hotel kembali beroperasi, pastinya pematuhan SOP yang lebih ketat lagi akan menjadi keutamaan kami.
"Tambahan pula ketika ini ramai orang yang telah menerima vaksin dan sepatutnya kerajaan mencari mekanisme tertentu atau membenarkan mereka yang telah menerima suntikan untuk bercuti serta menginap di hotel, bukan membiarkan kami terkontang-kanting menunggu mati,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Raj Kumar berkata, disebabkan larangan untuk beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Sekatan Pergerakan Penuh mengakibatkan pengusaha hotel menanggung kerugian jutaan ringgit.
Jelasnya, disebabkan tidak lagi mempunyai sumber kewangan untuk membayar gaji pekerja dan menampung kos penyelenggaran berikutan tidak dapat menjana pendapatan sejak sekian lama menyebabkan pengusaha hotel terpaksa memilih jalan terakhir iaitu menghentikan operasi walaupun ada diantaranya bertaraf lima bintang dan ternama.
"Setakat ini lima hotel terkemuka di Pulau Pinang telah menghentikan operasi mereka manakala, tujuh lagi menutup sementara perniagaan, dua hotel menukar pengurusan dan melakukan penjenamaan semula serta sebuah hotel ditutup begitu sahaja tanpa sebarang khabar berita.
"Bila berlaku perkara seperti ini yang paling terkesan siapa? Pastinya ribuan pekerja yang hilang mata pencarian dan bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan dengan pelbagai bebanan serta tekanan hutang," katanya.
Antara hotel terkemuka yang terpaksa mengucap tinggal kepada industri perhotelan ialah Hotel Equatorial Pulau Pinang di Bukit Jambul yang mengakhiri operasi 30 tahunnya pada 31 Mac lalu.
Klik di sini untuk terus membaca