BILANGAN penduduk Jordan yang sanggup dipenjarakan kerana tidak mampu membayar hutang meningkat sebanyak sepuluh kali ganda dari tahun 2015 hingga 2019 di negara itu yang menghadapi krisis kewangan.
Menurut laporan pertubuhan hak asasi manusia iaitu Human Right Watch (HRW) pada Mac lalu, lebih suku juta penduduk di negara beraja itu berdepan dengan masalah tuntutan hutang atau gagal melunaskan hutang mereka.
Berdasarkan perangkaan kerajaan Jordan, bilangan penduduk di negara tersebut yang berdepan dengan hukuman penjara kerana tidak membayar hutang meningkat dari 4,352 orang pada tahun 2015 kepada 43,624 orang pada tahun 2019.
"Di bawah undang-undang Jordan, jika anda berhutang dan anda tidak mampu untuk membayarnya, anda akan dipenjarakan," kata seorang penyelidik Asia Barat untuk HRW, Sara Kayyali seperti dilaporkan oleh AFP.
"Dalam kebanyakan kes, orang ramai akan berhutang untuk membayar sewa, membeli barangan runcit dan membayar bil perubatan. Namun, di sebalik membantu golongan yang memerlukan, pihak berkuasa pula memenjarakan mereka," tambahnya.
Beliau seterusnya dilaporkan berkata, memenjarakan penduduk kerana mereka tidak mampu membayar hutang merupakan satu pencabulan di sisi hak-hak asasi manusia kerana ia boleh memburukkan lagi kitaran berhutang.
Tambahnya, Jordan perlu memansuhkan hukuman penjara kerana berhutang dan melaksanakan langkah alternatif yang menghormati hak-hak asasi manusia penduduk serta membantu ekonomi negara berkenaan.
Kira-kira 16 peratus daripada penghuni penjara, kira-kira 2,630 orang berada di dalam jel kerana tidak mampu membayar hutang dan menulis cek tendang pada tahun 2019.
Di negara tersebut, seseorang yang berhutang dengan jumlah yang kecil boleh dipenjarakan sehingga 90 hari manakala menulis sekeping cek yang tendang akan membawa hukuman setahun penjara.
Bagaimanapun, penduduk di Jordan yang mengalami masalah hutang tidak mengambil jalan keluar mudah dengan mengisytiharkan diri sebagai bankrap.
Seorang penjaja kecil, Majdi Mohammad yang menjual minyak wangi dan kosmetik berkata, ketika pandemik Covid-19 melanda, dia hanya mempunyai hanya mempunyai 247 dinar (RM1,447) untuk membayar hutang sebanyak 6,000 dinar (RM35,154) yang dipinjamnya pada tahun 2018.
Majdi yang berusia 53 tahun kemudian memberitahu kepada AFP bahawa peminjam wang tersebut kemudian membuat aduan kepada mahkamah dan dia kini sedang menunggu keputusan mengenai nasibnya itu.
Dia juga mendedahkan ribuan penduduk Jordan telah melarikan diri ke Mesir, Turki dan Georgia bagi mengelak hukuman penjara kerana tidak mampu untuk melunaskan kembali hutang mereka.
Menurutnya, sebahagian penduduk berhutang di negaranya yang melarikan diri ke luar negara kerana tidak mahu dihukum penjara menghadapi kesukaran hidup di negara asing.
Katanya, ada sebahagian mereka yang tinggal di bawah jambatan dan parkir kenderaan awam di luar negara.
Namun, bagi mengatasi masalah kesesakan di penjara akibat Covid-19, Majlis Kehakiman Jordan mengumumkan pada Mac tahun lalu bahawa ia akan menangguhkan hukuman penjara ke atas mereka yang berhutang di bawah 100,000 dinar (RM586,015).
Majlis itu kemudian membebaskan mereka yang berada di dalam jel kerana berhutang tetapi akan menyambung semula hukuman penjara sehingg a akhir tahun ini.
Dalam pada itu, seorang bapa berusia 43 tahun, Mohammad Sabha yang mempunyai dua anak yang terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) terpaksa meminjam 12,000 dinar (RM70,321) selama lebih lima tahun dari lima buah institusi pinjaman.
Dia mengambil pinjaman itu kerana penjagaan kedua-dua anaknya OKU yang berusia 17 dan 18 tahun itu melibatkan kos berjumlah 5,000 dinar (RM29,300) setahun.
Mohammad bekerja di sebuah kilang yang mengeluarkan produk aluminium manakala isterinya bertugas dalam perkhidmatan pembersihan dengan kedua-duanya mempunyai pendapatan berjumlah 650 dinar (RM3,281) sebulan yang cukup untuk perbelanjaan mereka sahaja.
Namun, kerana gagal membayar pinjaman tersebut, dia dan isterinya dipenjarakan tetapi kini dibebaskan buat sementara waktu kerana pandemik Covid-19 tetapi mereka akan dimasukkan semua ke dalam jel sehingga akhir tahun ini.
Kedua-dua anak mereka iaitu Fathia berusia 17 tahun lumpuh tangan kanan dan sebelah kakinya manakala anak lelakinya, Khader, 18, hilang penglihatan satu matanya.
Justeru, Mohammad berkata, undang-undang berhutang itu perlu dikaji semula kerana ia hanya akan memberikan keuntungan kepada pihak yang memberikan pinjaman dan bukannya yang meminjam wang.
Sehubungan itu, Musa al-Saket iaitu seorang pakar ekonomi di Pusat Kajian Ekonomi dan Informatik Phenix di Amman, Jordan berkata, hutang merupakan salah satu daripada masalah sosial yang serius di negara beraja tersebut. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca