SHAH ALAM - Rakyat semakin buntu mencari sumber kewangan alternatif berikutan penularan pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda penurunan kes.
Pakar Psikologi Universiti SEGi, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, wang simpanan untuk menanggung perbelanjaan keperluan asas keluarga juga semakin berkurang dan membimbangkan mereka.
Menurutnya, kekurangan wang boleh menyebabkan ketidakstabilan emosi dan mengganggu rutin harian termasuk komunikasi bersama ahli keluarga.
"Kekurangan wang boleh menyebabkan seseorang itu berasa runsing, cemas, bimbang, takut dan mudah marah. Kelelahan emosi boleh berlaku sekali gus menjejaskan kesihatan mental seseorang kerana masalah wang,” katanya kepada Sinar Ahad.
Dalam pada itu, Mariani berkata, desakan dan tuntutan keadaan sedia ada menyebabkan ramai yang terpaksa membuat pinjaman kepada syarikat pinjaman berlesen walaupun dikenakan kadar faedah yang tinggi.
Jelasnya, dalam keadaan pandemik, pihak yang cuba mengaut keuntungan akan berleluasa jika tidak dipantau.
"Pihak berkuasa harus memastikan kaedah peminjaman dilakukan dengan prosedur yang betul dan tidak membebankan emosi dan fikiran mereka yang menghadapi masalah kewangan.
"Tekanan mental dapat dikurangkan jika kita sama-sama memastikan tiada yang akan ditindas oleh mana-mana pihak berkeuntungan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, rakyat perlu membuat perancangan teliti dan berbelanja sesuai dengan pendapatan sedia ada.
"Dalam masa sama perlu difikirkan alternatif lain untuk mencari rezeki dan sokongan psikososial juga sangat diperlukan dalam aspek ekonomi rumah tangga bagi mengelak tekanan emosi.
"Tekanan yang tidak dikawal dan tiada sokongan psikososial dalam persekitaran akhirnya boleh membawa kemurungan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa berhutang demi sesuap nasi
Baik buruk syarikat kredit berlesen beroperasi
Pinjaman berlesen tambah masalah rakyat
Klik di sini untuk terus membaca