SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul menegaskan badan induk bola sepak Asia tersebut belum memikirkan untuk menggunapakai pendekatan diambil Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang memansuhkan peraturan gol tempat lawan.
Malah menurut Windsor, pada masa ini peraturan pertandingan tersebut yang sesuai dalam konteks Asia itu akan terus digunapakai dalam semua kejohanan seliaan badan induk itu.
"Buat masa status jaringan tempat lawan ini bukan masalah kepada kelab-kelab yang mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan kendalian AFC.
"AFC sebelum ini pun telah melakukan kajian dan penelitian mendalam mengenai perkara ini, kita sudah fikirkan berkenaan isu ini sejak lima tahun lalu, dan melihat pelbagai sudut sebelum melaksanakannya pada masa itu.
"Namun asas utama di sini sebenarnya adalah situasi di Asia jauh dan cukup berbeza dengan di Eropah terutamanya dari kedudukan geografi setiap ahli gabungan atau kelab yang mengambil bahagian,” kata Windsor kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
UEFA sebelum ini mengambil keputusan memansuhkan peraturan gol tempat lawan bagi pertandingan kendalian badan induk Eropah tersebut musim depan.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin berkata, peraturan gol tempat lawan tidak lagi memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah.
Peraturan gol tempat lawan diperkenalkan pada 1965, digunakan untuk menentukan pemenang aksi timbal balik sekiranya perlawanan berakhir dengan keputusan seri secara agregat.
Pendirian terbaharu badan induk itu bakal menyaksikan permainan berlanjutan ke masa tambahan kemudian penalti sekiranya pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama selepas aksi timbal balik.
Jelas Windsor lagi, dalam konteks Asia faktor geografi merupakan perkara utama yang akan dipertimbangkan badan itu sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan perkembangan terkini tersebut.
"Di Eropah, perjalanan tiga empat jam sudah sampai ke venue lawan, kita di Asia pula perjalanan 13 ke 14 jam pun belum tentu sampai lagi ke destinasi lagi.
"Itu belum lagi ditambah dengan pelbagai masalah luar jangka semasa dalam transit dari satu tempat ke satu tempat lain sepanjang perjalanan berkenaan.
"Cuba kita ambil contoh sebuah kelab dari Lubnan yang akan berdepan kelab Australia, berapa lama perjalanan yang akan diambil kelab ini untuk sampai ke destinasi mereka?
"Jadi apabila kelab Lubnan ini berjaya menjaringkan gol di tempat lawan tidakkah ini akan memotivasikan dan berbaloi untuk pemain-pemain setelah mengharungi perjalanan yang jauh?
"Situasi di Eropah cukup berbeza, kerana jaraknya tidak jauh seperti Asia selain menggunakan perkhidmatan bas, tren boleh juga menggunakan perkhidmatan kapal tebang,” katanya.
Tambah Windsor lagi, status larangan sebagai tuan rumah dalam kalangan beberapa kelab Asia oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga menyebabkan perkara itu memerlukan kajian lebih mendalam melibatkan pakar teknikal badan tersebut.
Menurut Windsor, terdapat beberapa kelab seperti dari Iraq, Syria, Yaman dan Afghanistan terpaksa menggunakan gelanggang di negara lain sebagai venue tuan rumah berikutan masalah keselamatan atau konflik dalaman negara tersebut.
"Apabila perkara ini berlaku bagaimana untuk mengatakan kelab ini mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri itu dalam perkara ini yang sebaliknya memberi kelebihan kepada lawan.
"Ini juga antara perkara yang perlu diperhalusi dan dikaji oleh AFC apabila memperkatakan mengenai perkara ini,” katanya.
Namun pada masa sama, Windsor juga tidak menolak isu pemansuhan peraturan gol tempat lawan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal badan induk tersebut.
"AFC tidak menyatakan bahawa pendekatan UEFA ini tidak bagus untuk perkembangan sukan bola sepak pada masa depan.
"Perkara yang bagus untuk perkembangan sukan bola sepak pada masa depan sudah tentu kami akan lakukan kajian dan perhalusi,” katanya.
Mengulas sama ada ahli gabungan AFC boleh melaksanakan tindakan sama seperti diputuskan badan induk bola sepak Eropah itu, Windsor berkata, AFC hanya bertanggungjawab untuk semua pertandingan di bawah kendaliannya seperti Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC.
"Jadi untuk pertandingan domestik tempatan seperti saingan Liga Malaysia (Liga-M), terpulang kepada badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menentukannya.
"Kena ingat bahawa ini merupakan peraturan pertandingan dan bukannya merupakan undang-undang bola sepak yang sudah sedia termaktub sebagai undang-undang bola sepak antarabangsa,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca