DUNIA automotif sekarang tidak boleh lari daripada transformasi industri itu ke arah elektrifikasi. Bukan hibrid, bukan PHEV (Plug-In Hybrid) tetapi BEV (Battery Electric Vehicle).
Jika ada yang masih berkata jangan risau, biar saya terangkan dengan beberapa fakta yang boleh membuat mereka sedikit gusar.
1. Suatu ketika dahulu, pasaran automotif Malaysia hanya menerima enjin-enjin lapuk kerana kualiti bahan api yang lebih lapuk dari negara-negara jiran.
Setelah ditingkatkan kepada Euro 4M untuk petrol dan adanya pilihan Euro 5 untuk diesel, baharulah model-model lebih baharu cepat diperkenalkan di Malaysia.
Dunia sekarang sudah ke arah EV dan jika dibiarkan, Malaysia tidak akan menerima produk moden yang sesuai untuk pasaran kita.
2. Kebanyakan negara-negara Eropah sudah mula membuat akujanji untuk hanya menjual EV sahaja menjelang tahun 2030 atau lebih awal dari itu.
3. Indonesia, negara jiran yang sering dipandang ‘kurang maju’ oleh sebilangan rakat Malaysia telah mengumumkan negara itu akan hanya menjual ‘mobil listrik’ (kenderaan elektrik) menjelang tahun 2050.
Untuk motosikal, Indonesia akan mula menjual hanya motosikal elektrik menjelang tahun 2040.
4. Singapura mahu menghapuskan kenderaan berenjin menjelang tahun 2040. Mulai 2025, semua pendaftaran baharu untuk kereta diesel dan teksi akan ditamatkan.
Negara republik itu juga akan mempunyai 60,000 pengecaj menjelang tahun 2030.
5. Thailand, suatu ketika dahulu menjadi pesaing utama Malaysia di dalam perlumbaan automotif, terus maju ke hadapan dengan mengumumkan Thailand akan hanya menjual kenderaan elektrik menjelang tahun 2035.
Malah negara Gajah Putih itu juga telah membentangkan pelan penghasilan tenaga elektrik untuk membantu mencapai objektif EV mereka.
Kesemua negara-negara itu sudah mempunyai pelan perancangan untuk EV dan kesemua negara itu turut mempunyai kes pandemik Covid-19.
Berbalik kepada Malaysia, walaupun pelan perancangan nasional untuk EV sudah dalam peringkat terakhir, menjadi adat di Malaysia di mana kesemua program perlu dilancarkan oleh menteri-menteri sahaja.
Apa yang dialami oleh Malaysia sekarang ialah sindrom tidak kisah yang sangat mengerikan.
Hampir tidak ada sebarang kemajuan besar berlaku dalam sektor automotif dan kini ia ditutup terus untuk tempoh sebulan, atau mungkin lebih.
Sayang sekali kerana inisiatif kenderaan elektrik di Malaysia bermula secara aktif sejak penubuhan Green Tech dalam tahun 2010 lagi menjadikan Malaysia negara pertama Asean dengan insentif EV dan pemasangan pengecas awam.
Tidak ada banyak perubahan pun yang berlaku sekarang dan kita tidak perlu menuding jari kepada sesiapa pun kerana jika menuding pun, yang punya badan buat tak tahu.
Wallahuaklam.
* Hezeri Samsuri ialah wartawan dan penganalisis industri automotif sejak 25 tahun dahulu. Hak pengguna dan kemajuan industri automotif tempatan adalah fokus utama beliau, selain memandu dan menunggang segala jenis kenderaan di dunia.
Klik di sini untuk terus membaca