SEBUT sahaja pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), pastinya ramai yang mengeluh dengan cabaran dihadapi pelajar lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan masalah capaian internet. Sejak tahun lalu, masalah capaian internet seperti... Klik di sini untuk terus membaca

SEBUT sahaja pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), pastinya ramai yang mengeluh dengan cabaran dihadapi pelajar lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan masalah capaian internet.

Sejak tahun lalu, masalah capaian internet seperti tiada berkesudahan apabila saban hari ada sahaja berita mengenainya yang terpaksa dihadapi pelajar terutama di luar bandar dan ceruk kampung.

Pada Sabtu, media melaporkan kesusahan tiga beradik di Papar, Sabah yang terpaksa memanjat bukit untuk mendapatkan capaian internet bagi mengikuti PdPR.

Tiga beradik – Dona Fiona David, 17, Richie Declare, 11 dan Falesia Brisha, 7, akan memulakan perjalanan seawal jam 7 pagi ke kawasan bukit kira-kira dua kilometer dari kampung mereka di Kopozon Gana.

Pelajar di Wallace Bay, Pulau Sebatik, Tawau pula terpaksa menempuh perjalanan kira-kira 30 kilometer atau 40 minit dengan motosikal ke Sungai Tongkang bagi mencari capaian internet.

Berkongsi perkara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan Wallace Bay, Sibrin Daie berkata, capaian internet yang lemah di Wallace Bay dan kawasan sekitar memaksa pelajarnya berbuat demikian.

Bukan sahaja di Sabah, pelajar di Semenanjung juga tidak dapat lari daripada masalah sama. Pada 17 Jun lalu, media melaporkan lebih 20 pelajar dari Kampung Terap Dalam, Bandar Baharu, Kedah terpaksa mencari kawasan lebih tinggi atau berbukit untuk mendapatkan capaian internet.

Seorang penduduk, Khairul Faizi Ahmad, 47, berkata, tiga anaknya yang masih bersekolah mengalami kesukaran belajar secara dalam talian kerana capaian internet di rumah sangat lemah sekali gus mendorongnya membawa anak-anaknya ke kawasan lebih tinggi di luar rumah.

Kemalangan

Berbeza pula nasib seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein di Selama, Perak apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke rumah bapa saudaranya di Taman Permai 2, Selama untuk mengikuti PdPR pada 20 Jun lalu.

Kejadian jam 9.45 pagi itu menyebabkan Siti A'isyah Mohd Idris, 17, cedera parah. Kakaknya, Siti Nurzulfa Mohd Idris, 22, berkata, adiknya terpaksa berulang-alik setiap hari ke rumah bapa saudara mereka yang terletak hampir tujuh kilometer di Pekan Selama untuk mengikuti PdPR.

Kisah Siti A'isyah mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengarahkan syarikat telekomunikasi melaksanakan pengoptimuman pemancar yang berhampiran dengan Kampung Baru Batu Tiga, Perak bagi memastikan liputan Internet lebih baik di kawasan berkenaan selewat-lewatnya Julai ini.

Tidak dinafikan, sejak Malaysia dilanda Covid-19, kerajaan melakukan pelbagai usaha bagi mengatasi masalah komunikasi digital, antaranya melaksanakan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Program Jaringan Prihatin.

SKMM memaklumkan pelaksanaan Jendela sejak September lalu berjalan seperti dirancang dan dalam tempoh 10 bulan, pihaknya sudah menerbitkan dua Laporan Suku Tahun Jendela.

Menurut SKMM, sehingga 31 Mac, sebanyak 292,826 premis sudah diliputi dengan jalur lebar tetap dan 5.7 juta premis diliputi dengan gentian optic.

Selain itu, SKMM berkata, sebanyak 193 tapak menara baharu akan dibina dan menamatkan rangkaian 3G serta pemindahan spektrum bagi penggunaan teknologi 4G.

Terbaharu pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sedang menterjemah perancangan capaian internet di seluruh negara termasuk kawasan pedalaman dan perkampungan orang asli supaya semua lapisan masyarakat menikmati jaringan komunikasi lebih baik.

Beliau berkata, ia termasuk melakukan transformasi ke atas 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara sebagai pusat pendidikan bagi menangani PdPR.

Penulis berharap usaha diambil kerajaan dapat menyelesaikan masalah capaian internet, sekali gus memastikan pelajar dapat terus belajar tanpa perlu lagi memanjat bukit, meredah hutan mahupun berkampung di tepi sungai semata-mata untuk belajar secara dalam talian.

* Siti Shamila Che Zahari ialah Penyunting Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca