LEBIH 25,000 peminat menanti ketibaannya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang manakala ratusan ribu yang lain mengikuti liputan peristiwa itu melalui siaran langsung yang disiarkan di corong radio.
Ketibaannya menjadikan keadaan tidak terkawal. Orang ramai yang berkumpul terus mara, berasak-asak, untuk melihatnya dari dekat. Alan Teh Leam Seng dalam catatan nostalgianya di The New Straits Times pada 29 Julai 2018 menceritakan bagaimana sebahagian pagar lapangan terbang itu roboh disebabkan asakan tersebut dan dalam keadaan berasak-asak itu seorang lelaki tidak sedar bagaimana sarung kakinya boleh hilang sedangkan kasutnya masih di kaki.
Begitulah hebatnya sambutan yang diberikan kepada Muhammad Ali. Saya memilih untuk menulis tentang sosok ini sebagai susulan kepada tulisan saya pada keluaran lepas yang menyebut bahawa antara peristiwa yang berlaku di Stadium Merdeka ialah perlawanan tinju Muhammad Ali menentang Joe Bugner pada 30 Jun 1975.
Saya mungkin lahir agak terkemudian, iaitu setahun selepas Muhammad Ali memperolehi semula ‘hak’ untuk bertinju. Sebelumnya dia menjadi gelandangan di arena sukan tersebut selepas lesen bertinjunya ditarik balik pada April 1967 atas keengganannya menyertai kerahan tentera untuk berkhidmat di Vietnam.
Tetapi lahir kemudian tidak menjadikan saya ‘jauh’ daripada legenda yang disifatkan sebagai peninju dan ahli sukan terhebat sepanjang zaman itu. Sejak kecil saya sudah biasa mendengar namanya disebut. Berita dan gambarnya sentiasa ada di pelbagai akhbar dan majalah. Posternya boleh dilihat di merata tempat.
Kerana popularnya dia, ada lagu khusus untuk Muhammad Ali. Yang terawal ialah lagu Black Superman, ciptaan dan nyanyian Johnny Wakelin, tidak lama selepas Ali menumpaskan George Foreman di Kinshasa, Zaire pada akhir 1974. Di Singapura pula, pada tahun 1975 muncul dua lagu, Raja Tinju Dunia nyanyian Ruslan Yus dan Pahlawan Tinju (Muhammad Ali) nyanyian Kadir.
Muhammad Ali dan Joe Bugner tiba di Malaysia hampir sebulan lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini. Ali menginap di Hotel Hilton, manakala Bugner pula di Hotel Equatorial; kedua-duanya terletak di Jalan Sultan Ismail.
Dan sepanjang tempoh itu, lobi kedua-dua hotel tersebut – Hilton terutamanya – menjadi tumpuan peminat berlegar, masing-masing dengan harapan dapat melihat kelibat kedua-dua peninju itu.
Untuk mengelakkan daripada gangguan peminat, Muhammad Ali akan turun untuk berjogging pada sekitar pukul dua atau pukul tiga pagi di padang lumba kuda, yang menjadi tapak KLCC sekarang. Waktu joggingnya berubah-ubah, namun ia tidak menghalang sebahagian peminat menunggu dengan setia untuk melihatnya.
Bagi merancakkan kehadiran Muhammad Ali di negara ini muncul kemeja-T, poskad, poster, belon, kotak mancis dan pelbagai lagi yang memuatkan imejnya. Impaknya sampai ke segenap penjuru sehinggakan bukan sahaja kanak-kanak dan remaja menyimpan cita-cita untuk menjadi peninju, malah yang tua-tua pun khabarnya dalam diam menyimpan cita-cita yang sama.
"Waktu itu di mana pun kita duduk pasti akan terdengar cerita tentang kehebatan Muhammad Ali. Ada yang kata jika dia tumbuk lembu, maka lembu itu akan mati; jika tumbuk tembok, tembok itu tentu runtuh,” cerita seorang kawan senior.
Tiket perlawanan terbahagi pada dua kategori. AS$250 untuk tepi gelanggang dan AS$100 di galeri biasa. Jumlah yang terlalu besar bagi majoriti rakyat Malaysia ketika itu. Tetapi ia tidak menjadi masalah kerana perlawanan itu disiarkan secara langsung menerusi televisyen Malaysia.
Oleh kerana perbezaan waktu Malaysia dan Amerika Syarikat adalah 24 jam, maka perlawanan itu diadakan pada sebelah pagi bagi membolehkan rakyat Amerika menontonnya pada sebelah malam.
"Pagi itu seluruh negara bagaikan dilanggar geroda. Tempat di mana ada televisyen menjadi tumpuan. Murid-murid sekolah juga diberi ‘cuti seketika’ bagi membolehkan mereka menonton perlawanan itu menerusi peti TV yang diletakkan di kantin. Di pejabat-pejabat pun orang tidak bekerja, semuanya menghadap TV,” cerita kawan senior saya itu lagi.
Begitulah popularnya Muhammad Ali. Dia membawa aura yang berbeza kepada sukan tinju.
Di Malaysia, sama juga dengan di mana-mana negara Islam yang lain, minat pada lelaki yang nama asalnya Cassius Marcellus Clay Jr ini bukanlah semata-mata kerana kehebatannya di gelanggang, tetapi juga kerana dia beragama Islam. Kehebatannya yang terserlah selepas memenangi pingat emas acara tinju di Sukan Olimpik 1960 dan keIslamannya yang bermula pada 1961 itu bergabung menjadikan dia ikon di Dunia Islam.
Ali yang menjadi satu-satunya individu yang memenangi kejuaraan tinju heavyweight dunia sebanyak tiga kali, turut menjadi idola warga dunia tanpa mengira bangsa dan agama. Bagi mereka dia bukan sekadar seorang atlit, penghibur, penyair dan dermawan tetapi juga pejuang kemanusiaan dan pecinta keamanan yang tidak pernah mengenal jeran.
Dia terlibat dalam pelbagai misi ke merata penjuru alam dan itulah antara sebab majalah Time meletakkannya dalam senarai 20 orang warga Amerika Syarikat yang paling berpengaruh sepanjang zaman.
Bagi masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat, Muhammad Ali adalah antara pejuang yang namanya diletakkan tidak terlalu jauh dari aktivis-aktivis hak sivil barisan hadapan seperti Martin Luther King Jr, Harriet Tubman, Sojourner Truth dan Malcolm X.
Mereka tidak akan lupa pada kata-katanya: "Kenapa saya disuruh pergi berpuluh ribu batu untuk menjatuhkan bom dan melepaskan peluru ke atas orang-orang di Vietnam sedangkan orang-orang yang digelar Negro di sini dilayan seperti anjing dan dinafikan hak-hak asasinya?”
Ali yang disahkan menghidap Parkinson sejak berusia 42 tahun menghembuskan nafas terakhir pada 3 Jun 2016 pada usia 74 tahun. Antara yang diberi penghormatan mengusung kerandanya ialah bekas lawannya, Larry Holmes, George Foreman, George Chuvalo, Lennox Lewis dan Mike Tyson. Turut sama ialah bintang filem terkenal Will Smith.
Insan hebat ini meninggalkan nama yang cukup besar. Dia bukan sekadar legenda, tetapi lebih daripada legenda. Dia telah melakukan segala upayanya untuk memberikan yang terbaik kepada dunia dan manusia. Kita bagaimana? #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Klik di sini untuk terus membaca