SHAH ALAM - Rasuah dalam industri insurans di Malaysia semakin menjadi barah apabila nilai kerugian atau pampasan daripada tuntutan penipuan insurans kemalangan dianggarkan mencecah RM1 bilion setahun.
Sindiket tuntutan palsu itu melibatkan pemilik bengkel, penilai kemalangan atau adjuster, pihak berkuasa dan juga orang awam yang juga merupakan mangsa kemalangan.
Menurut sumber industri berkenaan, jumlah tuntutan besar itu membabitkan penipuan dalam tuntutan palsu berhubung kerosakan kenderaan yang terlibat dalam nahas jalan raya.
Katanya, nilai tuntutan sekitar RM1 bilion itu bagaimanapun tidak melibatkan pelbagai kerugian lain yang terpaksa ditanggung oleh pihak syarikat insurans dalam menguruskan pembayaran kepada mangsa kemalangan.
"Tuntutan hampir RM1 bilion setahun yang terpaksa ditanggung oleh syarikat insurans adalah jumlah yang masih belum dicampur lagi dengan tuntutan harga barangan atau alat ganti dan kos pekerja yang dianggarkan sekitar puluhan juta setahun. Harga barangan bagi menggantikan bahagian kereta yang rosak adalah mahal.
"Ia satu jumlah besar terpaksa ditanggung oleh syarikat insurans apabila kes-kes tuntutan ini dimanipulasi oleh pihak sindiket yang tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan besar.
"Isu ini juga berkait rapat dengan elemen rasuah yang sangat kuat menular di dalam industri ini. Ada pihak bengkel yang memberi sogokan kepada pihak berkuasa supaya kenderaan yang terlibat dengan kemalangan diserahkan kepada mereka, selain menawarkan ganjaran besar kepada mana-mana penarik kereta yang membawa kenderaan ke bengkel mereka,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.
Apabila tuntutan insurans kemalangan sudah melibatkan elemen rasuah katanya, banyak perkara buruk yang berlaku di dalam masyarakat dan menyebabkan penipuan semakin berleluasa.
Malah katanya, sindiket itu sukar untuk dibanteras kerana ahlinya saling bekerjasama dan membentuk satu ekosistem sesama mereka.
"Ibaratnya kalau kau garu belakang aku, aku akan garu belakang kau semula. Sebab itu, apabila kami mengetahui ada panel yang terlibat dengan jenayah ini walaupun sekali, mereka akan disenarai hitam oleh pihak kami,” katanya.
Tegasnya, bagi mengimbangi segala 'modal suapan’ yang telah dikeluarkan, ada segelintir pihak bengkel tidak bertanggungjawab sanggup menukar alat ganti bukan asli kepada pelanggan bagi mendapat margin keuntungan besar.
Tambahnya, jika tidak menggantikan bahagian kenderaan yang rosak, pemilik bengkel akan bertindak membaiki dengan mengetuk bahagian kenderaan yang bermasalah agar kembali kelihatan sempurna.
"Untuk menutup penipuan tersebut daripada dapat dihidu oleh mangsa, pemilik bengkel akan mengecat dengan baik dan nampak seperti baharu,” katanya.
Selain itu menurutnya, pihak penarik kenderaan juga terlibat sama dengan sengaja menyimpan kenderaan terlibat di tempat persendirian selama hampir dua minggu.
"Tujuan penyimpanan itu adalah masa untuk mereka mengadakan rundingan bagi mendapatkan harga tertinggi daripada pihak bengkel atau panel yang bersekongkol dalam penipuan tuntutan insurans kemalangan,” katanya.
Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab itu katanya, pihak bengkel akan menyelitkan kos yang ditanggung itu ke dalam tuntutan kepada pihak insurans sekali gus menjadikan tuntutan lebih tinggi daripada harga sebenar kerosakan.
Bagaimanapun katanya, jumlah penipuan melibatkan tuntutan insurans nahas motosikal adalah kecil kerana tuntutannya tidak berbaloi, selain proses membaiki hanya melibatkan pemilik dan bengkel secara terus.
Menurutnya, jika ada penipuan melibatkan kemalangan motosikal, kes tersebut hanya melibatkan jentera berjenama dan berkuasa besar kerana kos membaikinya adalah tinggi.
"Ada bengkel motosikal berkuasa besar yang siap sedia menyediakan cover set yang sudah rosak akibat kemalangan kepada pelanggan yang ingin membuat tuntutan palsu. Malah jaket perlumbaan yang terlibat dengan kemalangan juga disediakan bagi meyakinkan pihak penilai insurans kemalangan," katanya.
Tegasnya, conman atau dalang utama penipuan seharusnya dibanteras sepenuhnya oleh pihak berkuasa kerana kumpulan ini mempunyai modal yang sangat besar.
Katanya, tidak mustahil kumpulan sindiket yang bergiat aktif ini telah mendapat sokongan kewangan daripada syarikat peminjam kewangan tidak berlesen untuk membeli segala keperluan dan jentera menarik kenderaan terlibat dalam kemalangan.
"Tidak dinafikan bahawa lingkungan penipuan tuntutan insurans ini juga boleh berlaku akibat ketidakcekapan pihak pengendali insurans dalam memantau kes-kes kemalangan yang diuruskan mereka.
"Malah kebarangkalian penglibatan pekerja dalam syarikat insurans dengan sindiket ini juga menjadikan barah ini sukar dibendung," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Rosak RM8,000, tuntut sampai RM30,000 Klik di sini untuk terus membaca