PELIK juga apabila ada pihak yang pertikai gerakan kibar bendera putih. Pada pendapat Awang itu gerakan rakyat yang tulen yang dimulakan oleh netizen yang bertanggungjawab dan prihatin.
Sudah lebih 15 bulan kita dalam PKP kategori itu dan ini. Ekonomi terjejas, rakyat hilang kerja, peniaga nazak.
Rakyat miskin bertambah perit hidup mereka. Bagi yang bekerja sendiri sudah tiada ikhtiar lagi. Macam-macam cerita kita dengar tentang keluhan rakyat. Kadar bunuh diri pun tinggi.
Bukan semua orang dapat atasi masalah kesempitan hidup. Oleh sebab itu apabila ada cadangan untuk naikkan bendera putih jikalau terdesak, Awang rasa itu cadangan yang baik.
Orang yang buat begitu sebetulnya sudah tidak fikirkan segan silu lagi. Mereka perlu bantuan segera hidup.
Ada orang politik suruh berdoa sahaja, jangan naikkan bendera putih. Memang senang sesetengah ahli politik yang kecam tindakan rakyat. Tapi apa dia buat untuk bantu? Ada juga mufti yang tak setuju tindakan itu.
Peliknya kenapa dia tak usahakan bantuan daripada Baitulmal negerinya untuk bantu orang memerlukan? Buat apa duit Baitulmal berbilion ringgit kalau tidak digunakan untuk rakyat yang entah makan entah tidak?
Ada juga orang politik yang ugut mereka yang naikkan bendera putih dengan tindakan tertentu. Awang harap pihak polis jangan sekongkol dengan mereka. Rakyat perlukan bantuan. Mereka bukan nak menyusahkan sesiapa.
Klik di sini untuk terus membaca