SHAH ALAM - Rakyat melahirkan kebimbangan tindakan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur bermula hari ini tidak akan menurunkan kadar jangkitan kes Covid-19.
Seorang kontraktor, Muhammad Alias, 37, berkata, selagi kilang yang menyumbang kepada statistik peningkatan Covid-19 dibenarkan beroperasi semasa PKPD, selagi itu penurunan kes tidak akan berlaku.
"PKPD ini tidak akan turunkan kes pun sebenarnya, cuma nama sahaja yang bertukar. Prosedur operasi standard (SOP) juga masih sama dengan PKP sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sejak kerajaan melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun lalu, kadar penularan kes Covid-19 dalam negara masih belum menunjukkan angka menurun walaupun sudah sebulan ia dilaksanakan.
Dalam tempoh tersebut, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melonjak daripada 34,789 kes dilaporkan pada 7 Mei kepada 66,084 kes pada 2 Julai iaitu ledakan jumlah tersebut mengakibatkan sebanyak 5,327 kematian.
Seorang pekerja restoran, Siti Noorafiqah Salim, 25, berkata, pelaksanaan PKPD menyebabkannya penat dan kecewa berikutan tidak dapat menjalani rutin harian seperti biasa.
"Saya sudah setahun tidak pulang ke kampung halaman dan berjumpa rakan ditambah dengan tekanan di tempat kerja.
"Majikan bertindak memotong gaji saya untuk tampung kerugian berikutan jualan restoran jatuh hingga 70 peratus semasa SPP,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Azlifah Abdul Aziz, 48, turut kecewa dengan kerajaan yang lambat mengambil tindakan mengawal penularan wabak Covid-19.
"Sudah setahun lebih perkara sama berulang, asyik PKP dan PKPD sahaja tapi kes tidak turun-turun.
"Saya juga mengalami kesukaran untuk menghantar barangan keperluan kepada bapa yang tinggal di kawasan berlainan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca