PADA Ahad lalu, Amerika Syarikat (AS) meraikan hari ulang tahun kemerdekaan kali ke-245 tahun selepas 13 koloni Amerika ketika itu bertindak memutuskan hubungan dengan Britain pada 4 Julai 1776. Setelah kemerdekaan itu, AS kemudian... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Ahad lalu, Amerika Syarikat (AS) meraikan hari ulang tahun kemerdekaan kali ke-245 tahun selepas 13 koloni Amerika ketika itu bertindak memutuskan hubungan dengan Britain pada 4 Julai 1776.

Setelah kemerdekaan itu, AS kemudian berkembang menjadi sebuah negara besar selain merupakan kuasa ekonomi di dunia yang kini mempunyai 50 buah negeri dan sebuah wilayah pentadbiran dikenali sebagai Washington D.C.

Pada Ahad lalu juga, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan bahawa negara tersebut sedang berada dalam pemulihan daripada pandemik Covid-19 selepas program vaksinasi secara besar-besaran dilakukan di negaranya.

Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 1,000 orang yang terdiri daripada anggota tentera dan bekerja dalam perkhidmatan penting di laman Rumah Putih pada hari tersebut, beliau berkata bahawa walaupun negara tersebut sedang berada dalam proses pemulihan tetapi Covid-19 masih belum dapat dihapuskan di AS.

"Kami berjaya mengawal virus ini. Jangan salah anggap dengan saya, Covid-19 masih belum dapat ditumpaskan. Kita semua tahu varian yang cukup kuat sudah muncul seperti varian Delta," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

AS sebelum ini muncul sebagai negara paling teruk dilanda dengan Covid-19 sehingga mencatatkan lebih 600,000 kematian manakala lebih 33 juta kes dilaporkan sejak pandemik tersebut berlaku.

Kes pertama Covid-19 yang dikesan di AS adalah melibatkan seorang lelaki berumur 35 tahun yang tinggal di negeri Washington.

Ia turut disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC) negara itu pada Januari tahun lalu.

Lelaki itu diuji positif selepas dia kembali dari Wuhan, China selepas virus korona itu menyebabkan ramai penduduk di bandar tersebut dijangkiti Covid-19 dan ada yang meninggal dunia akibat pandemik tersebut.

Kes itu kemudian semakin merebak dan AS mencatatkan rekod baharu pada November 2020 apabila terdapat lebih 184,000 kes sehari pandemik itu dilaporkan manakala lebih 68,000 orang pula menerima rawatan di hospital-hospital.

Pada Mac 2020, tiada lagi perhimpunan keagamaan dibenarkan di gereja-gereja, tiada perhimpunan kekeluargaan boleh diadakan, restoran-restoran dan bar ditutup serta tiada acara sukan dibenarkan di AS.

Ketika itu terlalu ramai orang meninggal dunia di AS dan lebih 54 juta kanak-kanak tidak dapat pergi ke sekolah manakala Jabatan Buruh melaporkan lebih 30 juta rakyat Amerika mendaftar untuk mendapat elaun pekerjaan kerana menjadi penganggur sehingga bulan April tahun tersebut.

Pada 11 Disember 2020, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) meluluskan buat pertama kali vaksin Covid-19 keluaran syarikat Pfizer/BioNTech untuk kegunaan kecemasan kepada penduduk berusia 16 tahun ke atas.

Seminggu kemudian, FDA meluluskan pula vaksin pandemik itu keluaran Moderna untuk kegunaan penduduk yang berusia 18 tahun ke atas ketika negara tersebut berada di bawah pentadbiran Presiden AS ke-45, Donald Trump.

Vaksin mRNA dan Johnson Johnson keluaran syarikat di negara AS kemudian diberikan kelulusan untuk digunakan oleh FDA.

Berikutan program besar-besaran vaksinasi dilakukan di bawah pentadbiran Biden sehingga lebih 172 juta daripada lebih 320 juta penduduk di AS sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin Covid-19.

Kira-kira 156 juta orang lagi telah menerima kedua-dua suntikan vaksin tersebut seperti dilaporkan oleh portal berita CBS pada 4 Julai lalu.

Program vasinasi secara besar-besaran di Amerika Syarikat berjaya menurunkan kes-kes Covid-19 di negara tersebut. - Foto AFP

Program besar-besaran suntikan vaksin itu yang dilakukan sejak Biden menjadi Presiden AS telah berjaya menurunkan kadar jangkitan dan kematian akibat pandemik itu apabila kes-kes baharu dilaporkan hanya mencatatkan 11,000 kes untuk satu hari pada Jun lalu.

Bilangan kes Covid-19 itu adalah jauh lebih rendah ketika Presiden tersebut mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu apabila pada hari angkat sumpah tersebut dilaporkan terdapat kira-kira 200,000 kes Covid-19.

Angka kematian juga menurun apabila secara puratanya, kira-kira 342 kematian sehari dilaporkan pada bulan Jun lalu berbanding 3,136 kematian sehari pada Januari lepas.

Pakar-pakar kesihatan menyatakan penurunan kes itu berlaku walaupun perniagaan dibuka semula di negara tersebut sekali gus menunjukkan bukti kempen vaksinasi berjaya menghalang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa varian Delta yang berasal dari India dan mudah merebak itu akan menular dalam kalangan penduduk di negeri-negeri yang mengalami kadar vaksinasi yang rendah.

Ini adalah kerana varian Delta mewakili hampir 25 peratus jangkitan baharu Covid-19 di AS iaitu peningkatan enam peratus jika dibandingkan pada awal bulan lalu.

Kebimbangan itu juga wujud ekoran sejumlah hospital di kawasan luar bandar AS juga dilaporkan mula untuk dipenuhi dengan pesakit-pesakit Covid-19 terutamanya di Utah, Missouri, Arkansas dan Wyoming.

Justeru, adakah varian Delta yang kini telah merebak di beberapa buah negara di dunia akan menjadi satu ancaman baharu kepada AS? - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca